• 22 Okt 2020 | 5 Rabiul Awal 1442

Golongan Veteran Perlu Kuasai Bidang IT

Oleh: Syazwana M.Zohir
Foto: MASWIN

KUALA TERENGGANU, 30 Jun – Golongan veteran disarankan menguasai kemahiran dalam bidang teknologi maklumat bukan hanya eksklusif untuk golongan muda sahaja.

Pegawai Seranta Sekretariat Akhbar Menteri Besar Terengganu, Daing Siti Norbaity Abdul Latif berkata tanggungjawab untuk mengendalikan bidang berkaitan teknologi dan maklumat, tidak mampu untuk digalas sepenuhnya oleh kaum muda.

Jelasnya, kaum yang lebih berusia juga memberi kerjasama dengan melibatkan diri secara aktif dalam mempelajari ilmu berkaitan multimedia.

“Pasca COVID-19 menyaksikan bahawa perlunya kita kepada aplikasi teknologi yang membantu memudahkan komunikasi dan dalam hal ini, semua peringkat umur perlu menyesuaikan diri berkomunikasi mengikut normal baharu iaitu secara atas talian.

“Celik teknologi ini tidak merugikan, bahkan banyak manfaat yang kita akan perolehi insya-Allah terutamanya bila kita niatkan untuk membantu agama.

“Dalam keadaan dunia langit terbuka hari ini, pelbagai kelas dan bengkel tersedia. Sesiapa pun boleh sertai, bukan muda belia sahaja, tinggal lagi mahu atau tidak,”ujarnya.

Beliau yang juga merupakan tenaga pengajar bengkel berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini.

Bengkel Pendedahan Teknologi tersebut telah dianjurkan oleh Kelab Penggiat Media Sosial Insipirasi Wanita Terengganu (MASWIN) yang menyasarkan golongan yang berusia 40 tahun ke atas di TD1303 dan melibatkan 15 orang peserta serta dibantu oleh lima orang fasilitator.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Permuafakatan Wanita Negeri Terengganu (MAWADDAH), To’ Puan Hajah Zarani Othman melahirkan rasa gembira dan syukur atas penganjuran bengkel tersebut.

Beliau yang juga merupakan isteri kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Yahya Ali berkata pembangunan yang pesat dalam bidang teknologi komunikasi telah didorong oleh proses globalisasi.

“Banyak kesan perkembangan teknologi kepada sesebuah organisasi, antaranya termasuklah memudahkan interaksi sesama ahli dan juga berfungsi sebagai medium menyampaikan maklumat.

“Selain berperanan melancarkan lagi tugasan dalam organisasi, teknologi juga dilihat sebagai satu wadah bagi memastikan objektif berjaya dicapai,” tambahnya.


Tag: