• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Graduan Reka Bentuk Tempa Nama Dalam Bisnes

Oleh : Nur Farah Amirah Hamzah

KUALA TERENGGANU, 7 Mac – Graduan Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Perindustrian, Nur Sarah Adlina Mohammad, 25, mula menempa nama dalam bidang perniagaan selepas bisnes keknya mendapat sambutan orang ramai terutamanya di media sosial.

Menurut Nur Sarah, walaupun kafe hipster kini bagai cendawan tumbuh selepas hujan, dia menyatakan bahawa PastelMonoMY yang dibinanya adalah berdasarkan minat mendalam dalam perniagaan dan bukannya sekadar trend.

“Sebelum ini, saya pernah memohon kerja di beberapa syarikat namun kecenderungan saya lebih kepada bisnes.

“Sejak 17 tahun saya telah terlibat dalam dunia perniagaan dengan menjual aksesori elektronik, kaca mata, beg dan jam tangan 'custom',” katanya ketika ditemui di kafe miliknya di Kuala Ibai, Ahad lalu.

Tambah Sarah, minat dan kesungguhan sejak kecil itu ternyata berbaloi apabila dia kini mula membina empayar perniagaan sendiri sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lalu.

“Sebelum memiliki kafe sendiri saya hanya mengambil tempahan untuk ‘cash on delivery’ (COD).

“Kemudian, hasil duit simpanan COD saya berjaya membuka kedai, dan pada permulaan saya hanya bercadang untuk beroperasi secara ‘pick up’ sahaja, tetapi ayah memberi cadangan supaya menambah meja dan kerusi,” jelasnya.

Ujar Nur Sarah lagi, perniagaannya itu kini makin maju apabila sering dikunjungi orang ramai setiap hari meskipun kafe tersebut baru berusia 3 bulan.

“Di awal operasi dulu, kedai hanya dibuka pada jam 1 tengah hari hingga 5 petang, namun sekarang kedai terpaksa dibuka bermula 11.30 pagi hingga 7 petang,

“Alhamdulillah, berkat usaha dan minat, saya telah berjaya mencapai apa yang dicitakan. Saya terfikir untuk menambah lagi menu resepi-resepi lain untuk perancangan masa hadapan,”

Sementara itu, ibunya, Haninah Yusof, 57, berkata, dia tidak menyangka minat mendalam Sarah itu membuahkan hasil yang lumayan.

“Dia memang minat berniaga sejak darjah 2. Contohnya kuih yang dibeli dengan harga RM0.50 dia akan menjual semula kuih itu dengan harga RM0.60 di sekolahnya,” jelas ibu Sarah.

PastelMonoMY yang terletak di Kuala Ibai menyediakan pelbagai jenis kek dan pastri antaranya Lotus Biscoff Cheesecake, Baby Burnt Cheesecake dan lebih daripada 20 pilihan menu. 

Untuk makluman lanjut, layari PastelMonoMY di Instagram dan Facebook. Lokasi kafe juga boleh didapati applikasi Waze. Waktu operasi kafe adalah pada jam 11.30 petang - 7.00 malam setiap hari / 2.30 petang - 7.00 malam hari Jumaat kecuali cuti pada hari Rabu. 

 


Tag: