lightning-solid
Berita :
Guru Al-Quran Ibarat Gula Sebarkan Kemanisan Wahyu
Guru Al-Quran Ibarat Gula Sebarkan Kemanisan Wahyu
Noraini Jusoh
18 jam yang lepas
82

Oleh: Fatimah Din

MARANG, 2 Mac – Guru yang mengajar al-Quran diibaratkan sebagai gula yang menyebarkan kemanisan wahyu kepada masyarakat, sekali gus membentuk generasi celik al-Quran dan berakhlak mulia.

Pegawai Hal Ehwal Islam Daerah Marang,  Faruq Mohd Fauzi berkata, analogi itu bukan sekadar perumpamaan, malah diterjemahkan melalui pelaksanaan Kursus Guru Latih Al-Quran yang dikenali sebagai singkatan (GULA).

“Guru al-Quran ini kita ibaratkan seperti sebiji gula, peranannya menyebarkan kemanisan al-Quran itu sendiri kepada semua lapisan masyarakat. Sebab itu kita laksanakan Kursus Guru Latih Al-Quran (GULA) bagi melatih dan memperkasa tenaga pengajar,” katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pasa majlis kunjungan hormat Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) Daerah Marang ke Yayasan Islam Daerah Marang.

Yayasan Islam Daerah Marang yang diketuai Azizah Din mempunyai tiga unit utama iaitu Unit Pentadbiran, Unit Khidmat Masyarakat dan Dakwah serta Unit KAFA.

Di bawah Unit Khidmat Masyarakat dan Dakwah, terdapat lima kategori kelas yang digerakkan secara aktif iaitu Kelas Al-Quran Kampung, Kelas Al-Quran Dewasa, Kelas Agama Dewasa, Kelas Agama Belia dan Kelas Agama Berzanji.

Antara program yang dilaksanakan termasuk kursus pengurusan jenazah, majlis khatam Al-Quran, Kursus Guru Latih Al-Quran (GULA), Kursus Kepimpinan (Qiyadah), Qiamullail, ceramah hari kebesaran Islam serta ceramah di lokasi-lokasi khas mengikut keperluan semasa.

Secara keseluruhannya, peranan utama yayasan ini adalah membantu Pejabat Agama Daerah dalam aspek dakwah dan kebajikan masyarakat setempat.

Sementara itu, Pegawai Unit KAFA, Nuruddin Rashid memaklumkan bahawa seramai 225 guru khidmat masyarakat dan 442 guru KAFA sedang berkhidmat di Parlimen Marang.

“Kami bukan sahaja menyelaras pengajaran, malah turut membantu dari segi kebajikan guru-guru Al-Quran dan guru KAFA di bawah seliaan kami,” ujarnya.

Komitmen berterusan ini membuktikan bahawa pembangunan pendidikan Islam di Marang bukan sekadar usaha biasa, sebaliknya digerakkan secara tersusun dan berfokus demi melahirkan masyarakat yang memahami, menghayati dan menyebarkan kemanisan Al-Quran dalam kehidupan seharian.


Tag :

Artikel Berkaitan