Berita :
42 Pelajar UniSZA Santuni Penghuni Darul Barakah
42 Pelajar UniSZA Santuni Penghuni Darul Barakah
Amirul Mohd
19 jam yang lepas
71

MARANG, 16 Mei – Seramai 42 pelajar daripada Kor Briged Antidadah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), telah menyertai Program Kembali ke Fitrah yang diadakan di Perkampungan Darul Barakah bagi memberi sokongan moral kepada penghuni pusat pemulihan tersebut.

Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Terengganu, Nor Ismawati Izwar Afandi berkata, program tersebut bertujuan membantu para penghuni Darul Barakah terus bersemangat dalam mengekalkan proses pemulihan mereka daripada penyalahgunaan dadah.

"Setiap insan ingin kembali kepada fitrah dan menginginkan kehidupan yang lebih baik. Program ini diadakan untuk memberi suntikan semangat agar mereka terus istiqamah dan kekal pulih sepanjang hayat,” katanya.

Beliau yang juga fasilitator sambilan di UniSZA berkata, kehadiran para pelajar lelaki dan perempuan dalam program itu bukan sahaja memberi pendedahan kepada mahasiswa tentang realiti pemulihan dadah, malah menjadi medium sokongan sosial kepada penghuni pusat berkenaan.

"Program Kembali ke Fitrah merupakan antara inisiatif Kor Briged Antidadah UniSZA dalam mendekati masyarakat dan membantu golongan yang sedang berusaha membina kehidupan baharu.

"Usaha seperti ini diharap dapat meningkatkan keyakinan para penghuni bahawa mereka tidak bersendirian dalam perjalanan untuk berubah, sebaliknya sentiasa mendapat sokongan daripada pelbagai pihak," ujarnya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan