• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Guru Bertuah Terima Pakej Ibadah Haji Sempena Hari Guru


Seorang pendidik menerima hadiah paling bermakna dalam hidup apabila hasratnya ingin menunaikan ibadah haji tercapai dengan perkhabaran gembira yang dibawakan bekas pelajarnya yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang berbesar hati menaja guru bekas Sekolah Menengah Agama Batu Rakit itu ke tanah suci tahun ini.

Guru Bahasa Arab, Ustaz Syed Abd Hamid Syed Ali, 58 dari Kampung Teluk Ketapang ketika ditemui tidak menyangka, kunjungan Dato’ Jailani Ngah memberi khabar yang cukup mengembirakan buat dirinya apatah lagi hari ini adalah hari yang istimewa buat semua yang bergelar pendidik.

 "Pada mulanya saya hanya berbual dan menyatakan hasrat untuk menunaikan haji, dan saya tidak menyangka beliau terus menawarkan saya untuk menunaikan ibadah haji dengan menggunakan kuotanya pada tahun ini.

 "Hadiah ini adalah satu penghargaan yang saya sama sekali tidak pernah terfikir dan cukup bermakna buat diri saya. Pemberian ini juga adalah hidayah Allah kepada beliau yang datang mengunjungi saya dan memberikan apa yang Allah kehendaki," katanya.

Sementara itu, Jailani berkata, sumbangan yang diberikan oleh gurunya tidak dapat dibalas kerana ia cukup besar dan bermakna buat dirinya.

"Sempena sambutan hari guru hari ini saya berkesempatan menemui beberapa orang bekas guru saya yang mengajar di Sekolah Menengah Agama Batu Rakit yang kini dikenali Sekolah Pondok Moden Maidam.

 "Jasa dan pengorbanan mereka tidak dapat dibanding , jika setakat ziarah sebenarnya tidak cukup kerana sumbangan mereka cukup besar sekali.

Menurut Jailani, beliau menawarkan gurunya pakej berkenaan secara percuma apabila bekas ustaznya itu menyatakan hasrat berkenaan kepadanya.

"Pakej haji ini akan uruskan secara percuma dibawah Yayasan 1 Ummah yang diuruskan oleh saya sendiri dan ia adalah satu pemberian kecil sempena hari guru ini jika hendak dibandingkan dengan sumbangan beliau yang tidak terbalas itu," katanya.

Sementara itu, pesara guru, Ismail Mohamad berkata, dia cukup terharu dengan kunjungan yang diberikan oleh bekas pelajarnya itu.

"Tidak dinafikan saya memang seorang guru yang tegas sepanjang 36 tahun mengajar tetapi alhamdulillah penerimaan pelajar pada zaman dahulu cukup berbeza sekali berbanding zaman sekarang.

"Jika dahulu walaupun guru itu tegas namun kami tidak pernah diambil tindakan berbanding masa kini. Malah hubungan pelajar dan guru cukup akrab sekali. Bagamanapun saya bersyukur kerana masih ada pelajar saya yang mengingati sumbangan dan jasa yang kami berikan berharap ia menjadi ikutan buat generasi masa kini," katanya.




Tag: