• 17 Apr 2024 | 8 Syawal 1445

Guru Disaran Elak Salah Guna Media Sosial



Golongan pendidik di Hulu Terengganu dinasihatkan supaya tidak menyalahgunakan media sosial sehingga menyalahi peraturan mahupun undang-undang.

Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Terengganu, Jalaluddin Ismail berkata,  sebagai guru, media sosial perlu diguna pakai dengan sepatutnya bagi mengekang penyebaran berita tidak benar.

"Kita faham bahawa media sosial memberi banyak kemudahan kepada guru dalam banyak aspek tetapi biarlah ianya digunakan dengan cara yang terbaik.

"Bagaimanapun, sekiranya ada antara guru yang melakukan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang di media sosial, pihak kami akan memanggil guru yang terbabit untuk mengetahui punca dan permasalahan untuk diambil tindakan seterusnya,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Taklimat Memperkasakan Transformasi Pendidikan Negeri Terengganu 2017, Daerah Hulu Terengganu di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, semalam.

Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dato' Tengku Putera Tengku Awang.

Jalaluddin berkata, pendekatan 'jumpa dan bincang' akan digunakan sekiranya didapati ada di kalangan guru-guru di daerah ini yang dikesan menggunakan laman sosial sebagai platform meluahkan ketidakpuasan hati terutamanya berhubung dengan surat pekeliling, bidang tugas berkaitan profesion tersebut atau isu-isu semasa.

Tambah beliau lagi, golongan pendidik juga diingatkan supaya tidak mudah percaya sebarang maklumat yang dilihat atau disalurkan dalam media sosial sebaliknya meneliti dahulu sesuatu berita atau isu sebelum menyebarkan kepada pihak lain.

Tag: