• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Guru Perlu Tingkat Kemahiran

KUALA TERENGGANU, 29 Mac -Para guru di negeri ini digesa agar meningkatkan kemahiran dalam menghadapi cabaran dunia pendidikan norma baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, mereka perlu lebih kreatif serta inovatif terutama  yang mengajar murid di peringkat sekolah rendah kerana sebelum ini pembelajaran secara bersemuka terhenti akibat  penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta PKP 2.0.

"Ianya bagi mengatasi masalah asas pembelajaran seperti membaca dan menulis yang dihadapi ramai murid pada ketika ini.

"Justeru, para guru perlu memerah keringat di dalam meningkatkan keupayaan kognitif, juga perlu bersabar mendidik para pelajar.

 "Walau bagaimanapun, penguasaan teknologi didapati meningkat serta mereka didapati mahir menggunakannya kerana didedahkan dengan pembelajaran secara atas talian melalui proses Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Gimik Penyerahan Barangan Persekolahan Sempena Program Sentuhan Ilmu Back To School 2020 di Pejabat Pendidikan Negeri Terengganu, semalam.

Sementara itu, Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Che Ahmad Tarmizi Abd Razak ketika diminta mengulas mengenai program itu berkata, antara bantuan kepada setiap pelajar sekolah terpilih ialah kelengkapan persekolan seperti set alat tulis, dua pasang baju sekolah dan sepasang kasut beserta stoking.

"Pihak kami sentiasa komited dalam membantu pelajar sekolah yang kurang berkemampuan sejak lapan tahun yang lalu dan meneruskan agenda tersebut pada tahun ini," ujarnya.


Tag: