• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Guru Sekolah, Guru Al-Quran Johan Tilawah Hulu Terengganu

HULU TERENGGANU, 25 Januari - Guru Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI), Muhammad Azizi Kamaruddin serta Guru Al-Quran, Tuan Aminah Tuan Endot masing-masing muncul johan qari dan qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Hulu Terengganu 1445H/2024M, di sini semalam.

Muhammad Azizi, 26, dan Tuan Aminah, 62, masing-masing akan mewakili daerah Hulu Terengganu ke peringkat negeri sekali gus menerima wang tunai berjumlah RM2,000 berserta piala iringan, plak cenderahati dan sijil penyertaan. 

Kedua-dua johan itu akan mewakili Daerah Hulu Terengganu pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri yang dijadual berlangsung di Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus Terengganu pada 27 hingga 29 Februari depan.

Azizi menyifatkan kemenangannya tidak dijangka apabila menerima saingan sengit daripada tiga peserta lain.

Beliau yang sebelum ini beberapa kali bertanding di peringkat yang sama berjaya mendapat 82.5 markah dan bertekad untuk memantapkan bacaannya sebelum mewakili daerah ke peringkat negeri pada Februari depan.

“Persiapan untuk ke peringkat negeri, saya berlatih dan terus berlatih seperti biasa, menghadap guru talaqi, rutin sebelum dan selepas tilawah adalah sama sahaja, itulah persediaannya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Ustaz Maliaman Kassim hadir menyampaikan hadiah kepada pemenang pada majlis yang berlangsung di Dewan Solat Masjid Pekan Ajil.

Turut hadir, Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Lizan Che Mat. 

Sementara itu,Tuan Aminah juga tidak menyangka berjaya menjadi johan bagi kategori qariah kerana berhadapan persaingan hebat daripada peserta lain.

Beliau yang berasal Kampung Getang Hilir, Telemong turut menyifatkan setiap peserta mempunyai kekuatan dan keistimewaan masing-masing dengan perbezaan markah yang sedikit.

 

“Alhamdulillah, tak sangka sebab ramai yang hebat-hebat sebelum ini, rasa macam dia menang ni sebab macam hebat sangat, jadi perasaan tu memang tak sangka langsung," ujarnya.

Naib johan qari dan qariah pula masing-masing membawa pulang wang tunai RM1,000, mock cheque, trofi dan sijil manakala pemenang tempat ketiga qari dan qariah masing-masing beroleh RM800, mock cheque, trofi dan sijil.