• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Hadiah Cabutan Bertuah Menanti Pembayar Zakat Bulanan

KUALA TERENGGANU, 25 April - Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menyediakan hadiah cabutan bertuah kepada pembayar zakat secara bulanan dalam kalangan rakyat negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata insentif yang menarik itu merupakan usaha kerajaan negeri bagi menggalakkan rakyat melakukan pembayaran zakat.

"Selain itu, pemberian wakalah juga akan diberikan kepada pembayar zakat individu, perniagaan dan majikan untuk pengagihan sendiri kepada asnaf yang dikenalpasti (layak menerima bantuan).

"Antara kemudahan lain yang disediakan oleh MAIDAM ialah mewujudkan Skim Khairat Kematian (Skim Al Hanan) kepada waris pembayar zakat yang telah meninggal dunia," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sesi Penggulungan Ke Atas Usul Menjujung Kasih dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu ke -15 bagi tahun 2024, di Wisma Darul Iman, pada semalam.

Dalam pada itu, Khalil berkata bagi zakat galian, MAIDAM menerima bayaran melibatkan pembayar inidividu dalam skala kecil sahaja.

"Berkait isu zakat petroleum, zakat galian ke atas minyak tidak dikenakan zakat kerana ia merupakan hasil kerajaan," ujarnya.

Tegasnya, selama ini pihak MAIDAM sentiasa memperhebatkan usaha dakwah dalam mengalakkan orang Islam membayar zakat dengan mempergiatkan aktiviti dakwah secara bersemuka dan melalui platform media sosial.

"Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah seperti taklimat, lawatan ke premis-premis perniagaan serta mengadakan perjumpaan secara individu dengan peniaga dan usahawan selain memberi peringatan melalui teks khutbah," ujarnya.