• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Tujuh Keluarga Terima Rumah daripada Kerajaan Terengganu

Oleh : Suhaimi Taib dan Muhammad Zamarul Hisyam

HULU TERENGGANU, 16 Januari - Tahun baharu pastinya memberi kenangan yang cukup manis buat tujuh keluarga di Dewan Undangan Negeri Ajil apabila menerima kunci rumah kediaman daripada kerajaan negeri hari ini.

Rofeah Razali, 45, yang merupakan salah seorang penerima melahirkan rasa syukur kerana dapat memiliki rumah sendiri.

Menurutnya, sudah lebih lima tahun dia menunggu untuk detik bermakna itu.

"Impian kami sekeluarga akhirnya tercapai juga pada awal tahun ini.

"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Ajil, Ustaz Maliaman Kassim serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan bantuan Projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) ini," katanya kepada pemberita.

Dia berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kunci PPTS di Bukit Che Amin, Kampung Tok Randok Ajil di sini hari ini.

Sementara itu, Maliaman berkata, usaha seperti akan diteruskan bagi meringankan beban rakyat miskin.

Katanya, Kerajaan Negeri dijangka berkolaborasi dengan Skuad Prihatin (PRIHATIN) untuk melaksanakan projek perumahan rakyat dengan harga RM50,000 sebuah.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri itu berkata kos berkenaan termasuk perabot dan kelengkapan lain.

Jelasnya, kerajaan negeri akan menyediakan peruntukan kewangan dengan jumlah tersebut manakala PRIHATIN menyediakan tenaga buruh binaan untuk menyiapkan rumah berkenaan.

"Kolaborasi itu masih di peringkat perancangan dan pelaksanaannya akan disegerakan tidak lama lagi," katanya.

Maliaman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil berkata, kerajaan negeri berhasrat memperkasakan program negeri berkebajikan dengan melaksanakan  pelbagai aktiviti bersama rakyat negeri itu termasuk membina rumah percuma untuk rakyat.

​​​​"Melalui program tersebut rakyat (yang prihatin) membantu orang ramai sama ada secara individu atau melalui badan bukan kerajaan (NGO).

"Saya sedang menyusun satu program untuk selaraskan portfolio kebajikan dengan NGO untuk membina rumah rakyat.

"Saya telah berbincang dengan Skuad PRIHATIN untuk membantu membina rumah rakyat dengan cara kolaborasi dengan kerajaan," jelasnya.

Menurutnya melalui program itu kerajaan bersama NGO membantu rakyat yang memerlukan bantuan bukan kerajaan sahaja berbuat demikian.

Walau bagaimanapun ujarnya, program berkenaan akan dilaksanakan dengan syarat tertentu termasuk memiliki tanah sendiri dan tidak pernah menerima rumah bantuan kerajaan.

 


Tag: