• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Hajat Sambut Ramadan Di Rumah Baharu Tercapai

KUALA NERUS, 20 Mac – Sambutan Ramadan dan Aidilfitri kali ini pasti lebih bermakna buat enam beranak selepas mereka menerima rumah baharu dalam Program Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) baru-baru ini

Rosmalia, 45, dari Kampung Teluk Ketapang, Seberang Takir di sini mengakui sebak dan terharu kerana hasrat untuk menghadapi Ramadan di kediaman baharu tercapai.

“Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada Mohd Fazill Wahab atas usaha mendapatkan saya sebuah rumah yang saya mohon sejak tahun 2018 lagi.

“Sekian lama saya nantikan kerana sebelum ni hanya dengan menumpang rumah mentua di Kemaman dan selepas itu hanya menyewa selepas ketiadaan suami,” tambahnya lagi.

Dia berkata demikian ketika ditemui media di Majlis Penyerahan Kunci Rumah PPTS DUN Seberang Takir yang disempurnakan Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, baru-baru ini.

Kata Rosmalia lagi, pemberian itu juga mengembirakan dua lagi anaknya yang sedang menunggu musim persekolahan semestinya memerlukan penginapan selesa.

“Selepas ini mereka dapat belajar dan berehat dengan lebih selesa berbanding sebelum ini, terima kasih kepada kerajaan,” jelasnya.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fazil Wahab berkata, objektif utama penyediaan  kediaman baharu adalah memberi  tempat tinggal yang selesa kepada asnaf fakir atau miskin sebagai salah satu penyelesaian masalah miskin tegar di Seberang Takir.

“Kerajaan negeri sentiasa komited menyediakan rumah sendiri kepada rakyat Terengganu di samping menepati syarat-syarat yang ditetap,” ujarnya selepas majlis penyerahan replika kunci rumah.


Tag: