• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Hamdan Awang Akhiri Kisah Suka Duka Dunia Pengadilan

KUALA NERUS, 26 Mei – Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Hamdan Awang yang telah memberikan impak besar dalam arena bola sepak tempatan telah mengumumkan persaraannya pada usia 42 tahun. 

Hamdan atau Cikgu Hamdan yang juga merupakan anak jati Terengganu telah berkecimpung selama 16 tahun dalam dunia kepengadilan mengumumkan persaraan beliau melalui hantaran di laman facebook rasminya kelmarin.

Presiden Bola Sepak Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, bagi menghargai jasa beliau satu majlis kejutan telah diadakan sempena persaraannya.

Katanya, Cikgu Hamdan akan dikenang sebagai seorang pengadil yang berdedikasi dan memberi sumbangan besar kepada bola sepak Malaysia. 

“Semoga persaraannya membawa kejayaan dan kebahagiaan dalam usaha masa depannya,” katanya

Jelas Hishamuddin melalui hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada semalam.

Sejak pengumuman persaraan oleh Cikgu Hamdan, Hishamuddin segera menghubungi beliau untuk memahami keputusan tersebut.

“Maklum balas Cikgu Hamdan amat saya fahami dan akur dengan keputusan persaraan tersebut.

“Beliau telah meletakkan Key Performance Indicator (KPI) untuk diri beliau dan rakan-rakan pengadil yang lain bagi mengangkat agenda pembangunan pengadil pelapis untuk Terengganu selepas ini secara lebih serius,” tambahnya.

Tambahnya lagi, komitmen Cikgu Hamdan terhadap pembangunan pengadil pelapis dibuktikan dengan penganjuran Akademi Pengadil Muda Terengganu pada Ogos 2024. 

“Acara ini dianjurkan oleh Persatuan Pengadil Negeri Terengganu, yang merupakan ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu dan Unit Pengadil FAM.

“Saya yakin, Cikgu Hamdan Awang merupakan pengadil yang sangat digemari oleh semua peminat bola sepak tanah air. Jasa dan bakti cikgu pasti dikenang oleh semua. Semoga beliau terus berjaya dalam skop kerja baharu selepas ini,” ujarnya..

 


Tag: