• 26 Jul 2024 | 19 Muharam 1446

Hampir 100 Banduan PBSL Terengganu Berjaya Teruskan Hidup

MARANG, 13 Jun- Hampir 100 peratus banduan yang mengikuti program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) di Terengganu berjaya meneruskan kehidupan di luar 'jeriji besi' setelah dibebaskan.

Pengarah Penjara Terengganu, PKK Hamid Taha berkata, hanya lima prospek yang masuk kembali daripada jumlah banduan dibebaskan setakat ini.

"Sehingga kini, telah lebih 1,500 orang mengikuti program ini. Alhamdulillah statistik hanya menyatakan lima orang sahaja yang masuk kembali.

"Faktor utama yang menjayakan program ini adalah peluang pekerjaan. Kita lihat, walaupun peluang pekerjaan di Terengganu agak terbatas (namun), kerjasama majikan dan keluarga memberi ruang untuk syarikat-syarikat luar ambil mereka bekerja.," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan program PBSL Ihsan Madani (Kepulangan Yang Dinanti) sempena Hari Raya Aidiladha di Penjara Marang, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Penjara Marang, PKK Mohamad Jusoh Ismail.

Tambahnya lagi, lebih 40 majikan di Terengganu memberikan kerjasama dalam 'membina' semula kehidupan para banduan.

"Alhamdulillah, lebih 90 peratus dari mereka bekerja dan dapat peluang menyara keluarga," ujarnya.

Untuk makluman, seramai 118 orang prospek dari seluruh negeri Terengganu mendapat pembebasan secara lesen dari keseluruhan 882 orang di seluruh Malaysia, hari ini  dengan Terengganu merekodkan jumlah pembebasan tertinggi.

 

 

 

 

 

 


Tag: