• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Hampir 40,000 Pengunjung UTC Sepanjang Ogos



Pengunjung Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuala Terengganu di Paya Bunga Square, di tengah pusat bandar Kuala Terengganu meningkat mendadak sepanjang Ogos lalu, berbanding bulan pertama beroperasi sejak 27 Jun lalu.

Hentian yang menyediakan pelbagai kemudahan lengkap di bawah satu bumbung, merekodkan 39,363 pengunjung sepanjang Ogos berbanding seramai 35,736 pada Julai lalu.

Pemangku Timbalan Pengurus Besar (Perancangan dan Pembangunan) Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Mahadi Ibrahim, berkata jumlah kutipan sepanjang Julai kira-kira RM8.6 juta daripada pelbagai agensi termasuk Tabung Haji (RM6.4 juta), Jabatan Pendaftaran Negeri (RM810,424), Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (RM588,691), Imigresen (RM380,560) dan lain-lain agensi (RM389,054).

Sementara pada minggu terakhir Jun merekodkan seramai 2,728 orang pengunjung dengan jumlah kutipan kira-kira RM836.3 juta.

“Sepanjang bulan lalu, orang ramai mula mendapatkan perkhidmatan di UTC berikutan kesedaran dan promosi yang dilaksanakan secara berterusan PMINT mengenai kemudahan yang tersedia di premis itu.

“UTC Kuala Terengganu adalah antara yang terbaik pernah ada di negara ini kerana ia menyediakan semua kemudahan pada satu hentian,”katanya kepada Teganukita.

Mahadi berkata, UTC yang berada di dua komponen pembangunan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) iaitu di Paya Bunga Square dan Paya Bunga Sentral dengan kos pengubahsuaian sebanyak RM38 juta dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan, antara yang terbaik di negara ini kerana mempunyai pelbagai kemudahan.

Beliau berkata, pusat perkhidmatan berkenaan menempatkan 30 pejabat termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta, dilengkapi kemudahan pusat rekreasi merangkumi gelanggang futsal, pusat memanah, gelanggang ping pong, pusat snuker dan pusat belia untuk aktiviti Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang kini hampir siap sepenuhnya.

Selain itu, ia turut mempunyai bilik mesyuarat, Taska Permata Keluarga Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, selain ruang niaga yang disediakan khusus untuk usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) negeri ini mempromosi serta menjual produk mereka.

Tambahnya, pengubahsuaian mengambil masa hanya  tiga bulan bermula 22 Mac lalu dan memberi keselesaan maksimum dengan menyediakan ruang luas dan mempunyai 1,500 lot meletak kenderaan .

Tag: