• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Hanafiah Bantu PERMATA UiTM

KEMAMAN, 20 September - Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) termasuk Universiti Teknologi Mara (UiTM) merupakan salah satu badan yang diberi perhatian oleh kerajaan negeri.

Yang Dipertua (YDP) PERMATA UiTM, Zikry Hakim Mohd Zakri memaklumkan, kerajaan negeri banyak memberi sokongan dari segi kewangan dan sokongan moral di dalam program-program yang telah diadakan.

"Semasa negara dilanda penularan pandemik COVID-19, mahasiswa kesusahan dan gelisah kerana ketiadaan bas pulang ke kampung. Namun dengan bantuan bapa angkat PERMATA UiTM, Yang Berhormat (YB) Hanafiah Mat, mahasiswa anak Terengganu diperuntukkan sebanyak 15 buah bas.

"Seluruh IPTA dibantu secara berperingkat dan UiTM diperuntukkan sebanyak tiga buah bas," ujarnya.

Katanya lagi, Hanafiah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri turut menyumbang dalam program Hari Keluarga PERMATA UiTM yang bertujuan untuk merapatkan ukhuwah sesama ahli.

Dalam pada itu, beliau turut mengharapkan agar hubungan PERMATA dengan kerajaan negeri serta Yayasan Terengganu menjadi lebih utuh di masa akan datang.

"Saya juga harapkan PERMATA dapat merencana lebih banyak program untuk kebajikan dan sosial mahasiswa anak Terengganu," ujarnya ketika berucap pada Majlis Malam Apresiasi PERMATA UiTM 2020 di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai, semalam.

Hadir sama memeriahkan majlis, Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid, ADUN) Air Putih, Ab Razak Ibrahim, ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili, Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Hazri Jusoh dan Timbalan Pengarah (Pendidikan) Yayasan Terengganu, Hashim Azmi Che Noh.


Tag: