• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Harga Makanan Mahal, Kuasa Memilih di Tangan Pembeli

KUALA TERENGGANU, 28 Mac - Sejak awal Ramadan, ramai orang mengeluh harga makanan dan minuman di bazar-bazar Ramadan seolah-olah ‘cekik darah’ kerana semakin mahal.

Ramai juga berkongsi rasa tidak puas hati di media sosial dengan mendakwa makanan dijual pada harga tidak masuk akal.

Bukan itu sahaja, sikap penjaja menjual makanan yang saiz dan kualitinya tidak sepadan dengan harga, malah ada yang telah rosak, juga hangat diperkatakan.

Hasil tinjauan juga mendapati makanan serta minuman yang dijual di bazar Ramadan di beberapa daerah di sini mengalami peningkatan harga berbanding tahun lalu dipercayai berikutan kenaikan kos bahan mentah.

Seorang peniaga kuih muih  di bazar Ramadan Gong Badak, Ros Abdullah, 56, berkata, jika tidak menaikkan harga jualan maka mereka tidak dapat menampung modal berniaga yang dikeluarkan.

Katanya, kualiti dan kuantiti makanan yang dijual akan dikekalkan tetapi harga mungkin dinaikkan pada kadar 50 sen ke 80 sen bagi setiap jualan.
Namun katanya, kadar kenaikan harga makanan bagaimanapun tidak melampau batas dan mampu dibeli pengunjung.

"Tahun ini kami terpaksa menaikkan harga sedikit kerana kos bahan mentah di pasaran seperti gula, gandum, telur dan barang-barang lain meningkat.

“Tetapi tak sampai hati nak naikkan harga sehingga pembeli terbeban.. jadi Kak Ros cuma naikkan antara 50 sen sehingga RM1 bagi setiap bekas kuih,” katanya yang sudah berniaga hampir 15 tahun.

Bagi Mohd Shahidan Shaari, 35, berkata dia terpaksa menaikkan harga sedikit kerana kos bahan mentah di pasaran seperti telur ayam, bawang, kelapa, ayam dan daging yang melambung.

“Tahun lepas sebungkus Nasi Minyak berlaukkan ayam dijual RM5 sebungkus tetapi tahun ini terpaksa jual RM6 manakala Nasi Beriani dari RM7 kepada RM8 satu bekas dengan kadar kenaikkan RM1 sahaja.

“Kita sebagai peniaga pun tidak boleh jual terlalu mahal kerana keadaan ekonomi juga masih belum pulih, kasihan kepada pembeli.

“Harap kerajaan turun pantau dan bantu kami. Dari dulu lagi bila masuk bulan puasa memang pembekal naik harga, jadi kami pun terpaksa jual mahal dan untung pun sedikit bila pembeli berkurangan,” katanya.

Sementara itu, rata-rata peniaga yang ditemui berkata kawalan harga dan stok bahan mentah merupakan perkara paling utama yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan jika  mahu memastikan peniaga tidak menaikkan harga jualan di bazar Ramadan.
 


Tag: