Harimau Kumbang Mati Dirempuh di LPT2

HULU TERENGGANU, 1 Mei – Detik cemas dialami seorang remaja lelaki apabila kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya melanggar seekor harimau kumbang yang muncul secara tiba-tiba di Kilometer (KM) 387, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) berhampiran Ajil di sini, awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira pukul 1.15 pagi itu menyebabkan haiwan liar berkenaan mati di lokasi akibat kecederaan parah, manakala remaja berusia 19 tahun tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, mangsa ketika itu sedang memandu Toyota Hilux dari Kelantan ke Kemaman sebelum haiwan berkenaan melintas secara mengejut dari arah kanan jalan.

“Pemandu tidak sempat mengelak lalu melanggar harimau kumbang tersebut. Haiwan itu mati di tempat kejadian akibat impak kuat pelanggaran,” katanya ketika dihubungi pagi ini.

Tambah beliau, bangkai harimau kumbang yang merupakan spesies dilindungi itu telah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu untuk tindakan selanjutnya.

“Tiada kecederaan dilaporkan terhadap pemandu, namun siasatan lanjut dijalankan di bawah laporan trafik biasa,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan pengguna jalan raya agar lebih berwaspada terutamanya di kawasan berhampiran hutan yang berisiko menjadi laluan haiwan liar, serta mematuhi had kelajuan yang ditetapkan.


Tag: