• 16 Apr 2024 | 7 Syawal 1445

Hasrat Kahwin Tetap Diteruskan Walaupun Cedera

DUNGUN, 4 Ogos - Kecederaan serius pada pergelangan kaki dihadapi seorang pemuda dari Kampung Kuala Jengai tidak menghalang semangat dan rancangannya untuk berkahwin.

Ismalizan Salim, 33,berkata, keluarga bakal pasangannya dari Kedah juga sudah mengaturkan segala persiapan.

"Walau macammana sekalipun ia mesti diteruskan. Insya-Allah kalau panjang umur perkahwinan itu akan dilangsungkan pada Oktober nanti. Kecederaan yang saya alami ini terjadi ketika di tempat kerja, yang mana saya bekerja di tempat pemasangan paip dan gas di salah sebuah syarikat di Ipoh Perak, " ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika dikunjungi oleh Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman di kediaman orang tuanya di Kuala Jengai, baru-baru ini.

Mengimbas kembali apa yang dialami katanya, ianya cukup menguji kesabaran.

"Dimana apabila ditanya oleh doktor ketika menerima rawatan bagaimana tahap kesakitan yang dialami tidak terasa sangat, tapi apabila ditanya mengenai waris, itu membuatkan saya tidak tahan sehingga menitiskan air mata kerana berada berjauhan daripada keluarga.

"Kerana luka serius yang dialami itu saya diberikan cuti panjang, mungkin Oktober nanti sakit yang saya alami belum tentu sembuh, namun sedar ada hikmah di sebalik apa yang terjadi," katanya.

Ghazali berharap agar kecederaan yang dialami Ismalizan segera sembuh.

"Juga kita turut mendoakan agar perkahwinannya nanti dipermudahkan oleh Allah SWT, agar dapat menempuhi hari-hari bahagia dengan pasangannya dari Negeri Kedah. Perasaan saya sangat tersentuh apabila dimaklumkan mengenai dirinya akan berkahwin pada Oktober nanti, semoga Allah memberikannya kekuatan, insyaAllah," ujar Ghazali.


Tag: