• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Hayati Nikmat Kemerdekaan Dengan Kesyukuran

KUALA NERUS, 3 September - Rakyat Terengganu khususnya Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh diseru agar bersyukur kepada Allah SWT dengan anugerah kemerdekaan dan sambutan Hari Kebangsaan kali ini.

ADUN Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, ianya perlulah dizahirkan melalui penghayatan terhadap nikmat kemerdekaan yang dikecapi dengan lebih mencintai tanah air dan bersyukur kepada Ilahi.

“Walaupun sudah 63 tahun kita merdeka, ia tidak akan memberi apa-apa makna kepada kita sekiranya tidak disyukuri dan difahami erti kemerdekaan menurut acuan agama.

"Malah sambutan kemerdekaan pada tahun 1957 suatu ketika dahulu, bukan sahaja dengan laungan keramat ‘Merdeka’, malah ia turut disambut dengan laungan azan bagi membesarkan Allah SWT.

"Kemerdekaan negara yang dinikmati hari ini adalah hasil daripada perjuangan orang-orang terdahulu setelah berlakunya penjajahan.

"Oleh itu, masyarakat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama perlu memupuk semangat perpaduan yang menjadi teras kekuatan negara selama ini,” ujar Hishamuddin ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena Majlis Merdeka @ Komuniti  Dan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang Daerah Kuala Nerus di pekarangan Dewan Serbaguna Tepoh, baru-baru ini.

Turut hadir dalam majlis itu, pemangku Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Saharuddin Mohamad dan Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ariffin Abdullah.


Tag: