• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Hijab Bukan Sekadar Sehelai Kain

KUALA NERUS, 22 Februari - Hijab bukan sekadar sehelai kain tetapi merupakan maruah kaum wanita.

Timbalan pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan, Wanita dan Perpaduan Nasional negeri Zuraida Md Noor berkata perkataan hijab adalah sinonim dengan kaum wanita, walau bagaimanapun kaum lelaki sebagai pemimpin kepada wanita dan bertanggungajawb memastikan kaum hawa yang beragama Islam menutup aurat dengan sempurna.

"Bila kita sebut sahaja Terengganu Hijab Day (THD), kebanyakan respon kaum Adam tak apalah kami lelaki tak pakai hijab... hijab untuk orang perempuan sahaja.

"Persepsi ini perlu kita tepis kerana kaum lelaki adalah wali atau pemimpin kaum wanita sekali gus menjadi tanggungjawabnya cakna terhadap wanita di bawah jagaannya," katanya dalam satu kenyataan media sempena Majlis Penutup THD bertema Indahnya Berhijab di Dewan Ar Riyadah Residence di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWA), Wan Nur Sakinah Din.

Hadir sama di majlis itu ADUN Bukit Besi Ghazali Sulaiman, ADUN Langkap, Azmi Maarof, ADUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail dan Pengarah-pengarah Unit Tubuh Kerajaan Negeri Terengganu.

Zuraida yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang berkata, THD juga bertujuan memberi kesedaran kepada para wali supaya lebih cakna tentang kewajiban ahli keluarga untuk menutup aurat dengan sempurna mengikut syariat Islam.

Katanya, apa yang dilaksanakan ini bertepatan dengan teras strategik ke-7 dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030) iaitu peningkatan kedayaan wanita.

"Kedayaan wanita memberi tumpuan kepada peningkatan institusi kekeluargaan dan martabat wanita selaras dengan perinsip Islam dan nilai murni masyarakat," ujarnya.

Menurutnhya Program THD juga selari dengan matlamat Dasar Wanita Terengganu yang dilancarkan pada 29 Disember 2022.

Ini katanya, termasuk membina jati diri wanita berteraskan keilmuan, keimanan, amal ketaqwaan serta nilai-nilai murni yang diterjemahkan dalam kehidupan.

"Saya menyeru agar pelaksanaan Dasar Wanita Terengganu disambut baik oleh semua pihak di negeri ini dalam usaha kerajaan negeri memperkasakan keperibadian dan akhlak golongan wanita," tambahnya.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah berucap menutup program itu dengan menyeru orang ramai memberi perhatian kepada amalan memakai hijab yang sempurna mengikut syariat Islam.

 

 


Tag: