• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

'Hiking Santai' Meriahkan Hiking Park Bukit Mentok

KEMAMAN, 4 Jun  – Seramai 150 orang pendaki telah menyertai program "Hiking Santai" di Hiking Park Bukit Mentok dalam usaha mempromosikan eko-pelancongan di kawasan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata program 'Hiking Santai' tersebut bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat dan cinta alam, tetapi juga mengeratkan hubungan silaturrahim dalam kalangan komuniti setempat.

"Kejayaan program ini membuka peluang untuk lebih banyak aktiviti serupa di masa akan datang, demi manfaat bersama dan menekankan kepentingan memelihara alam sekitar dan potensi besar Bukit Mentok sebagai destinasi pelancongan hijau," ujarnya ketika merasmikan Teratak Lebai Saras, di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam,

Program ini dianjurkan dengan kerjasama erat antara Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bukit Mentok dan Geng Bukit Mentok Hiking Park.

Program dimulakan seawal jam 8:30 pagi dengan para peserta berkumpul di dataran Hiking Park Bukit Mentok. Sesi memanaskan badan yang penuh semangat berlangsung pada jam 8:40 pagi sebelum pendakian sejauh 2.73 kilometer bermula pada jam 9 pagi. Pendakian berakhir pada jam 10:50 pagi dengan para peserta menikmati pemandangan indah sepanjang perjalanan.

Setelah penat mendaki, peserta disajikan dengan aktiviti santai berkemah pada jam 11 pagi. Menu istimewa kambing bakar dan udang galah bakar menambah kemeriahan suasana, menjadikan program ini lebih istimewa dan berkesan di hati semua yang hadir.

 


Tag: