KUALA TERENGGANU, 28 Disember - Terengganu berjaya menghimpunkan sebanyak 75 penyertaan perguruan silat dari seluruh negeri dalam Himpunan Tok Dekor (Guru Silat) Terengganu, baru-baru ini.
Himpunan tersebut yang berlangsung sempena Festival Payang Tengkujuh di Laman Pasar Payang itu dijadualkan untuk berlangsung selama lima hari bermula 25 hingga 29 Disember 2025.

"Himpunan Tok Dekor (Guru Silat) Terengganu mencatat penyertaan yang amat membanggakan apabila 75 perguruan silat dari seluruh Terengganu berhimpun, di samping menerima kehadiran pesilat dari luar negeri Terengganu.
"Ia jelas membuktikan bahawa seni silat terus dihormati sebagai warisan perjuangan Melayu Islam yang menyatukan generasi, memperkukuh disiplin dan membina akhlak," katanya menerusi satu hantaran di Facebook rasminya.
Amzad turut menegaskan bahawa seni silat perlu terus dipelihara dan dimartabatkan sebagai sebahagian daripada identiti negeri.
"Silat bukan sekadar seni gerak, tetapi lambang jati diri bangsa, wadah pembinaan sahsiah serta benteng mempertahankan Islam, adat dan kedaulatan negeri," ujarnya.

Beliau menjelaskan, festival sedemikian mampu menambah seri kepada salah satu kawasan tarikan utama pelancongan bandar negeri Terengganu.
"Pasar Payang pula kekal sebagai simbol nadi rakyat, budaya dan ekonomi Terengganu yang perlu terus dipelihara dan dimartabatkan," katanya.