KUALA TERENGGANU, 26 November – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya melibatkan empat daerah di Terengganu iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu, yang dijangka berlarutan sehingga Jumaat ini.
Menurut kenyataan di Facebook rasmi MetMalaysia, beberapa daerah lain di Terengganu – Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman – serta seluruh Kelantan turut dijangka menerima hujan berterusan tahap buruk hari ini.
MetMalaysia turut memaklumkan bahawa amaran tahap waspada dikeluarkan bagi Perlis, Hulu Perak serta beberapa kawasan di Kedah melibatkan Langkawi, Kubang Pasu, Pokok Sena, Padang Terap, Sik dan Baling.
Amaran waspada itu juga melibatkan daerah Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut dan Kuantan di Pahang, sebelum diperluas mulai Jumaat hingga Sabtu kepada Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Kedah (Kulim, Bandar Baharu), selain dua daerah di Johor iaitu Tangkak dan Segamat.
Dalam masa sama, MetMalaysia mengeluarkan amaran ribut tropika Senyar yang dikesan berada kira-kira 268 kilometer ke barat daya Lumut, Perak. Fenomena itu berpotensi membawa hujan lebat berterusan, angin kencang serta laut bergelora terutamanya di negeri-negeri utara Semenanjung.
Orang ramai disaran mengikuti perkembangan cuaca terkini melalui laman web dan aplikasi myCuaca serta media sosial rasmi MetMalaysia. Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan ke hotline 1-300-22-1638.