lightning-solid
Berita :
Hujan Tahap Buruk Dijangka Landa Terengganu, Kelantan Hingga Khamis
Hujan Tahap Buruk Dijangka Landa Terengganu, Kelantan Hingga Khamis
Mastura Jamal Din
14 jam yang lepas
207

KUALA TERENGGANU, 14 Disember – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk yang dijangka melanda seluruh negeri Terengganu dan Kelantan bermula Ahad hingga Khamis ini.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, keadaan cuaca tersebut berpotensi menyebabkan hujan lebat berterusan dalam tempoh panjang sekali gus meningkatkan risiko banjir, tanah runtuh dan kejadian tidak diingini di kedua-dua negeri berkenaan.

Menurut beliau, selain Terengganu dan Kelantan, amaran hujan berterusan tahap buruk turut dikeluarkan bagi beberapa kawasan di Pahang melibatkan Kuantan, Pekan dan Rompin serta Johor di daerah Mersing dan Kota Tinggi.

Dalam pada itu, hujan berterusan tahap waspada pula dijangka berlaku dalam tempoh sama membabitkan Perak (Hulu Perak dan Kuala Kangsar), Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Temerloh, Maran dan Bera) serta Johor (Segamat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru).

Tambahnya, amaran hujan berterusan tahap waspada turut diramalkan berlaku sehingga Selasa ini di Sarawak melibatkan kawasan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah.

Orang ramai, khususnya penduduk di Terengganu dan Kelantan, dinasihatkan supaya berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan sentiasa mengikuti perkembangan cuaca terkini melalui laman web rasmi MetMalaysia, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi MetMalaysia atau talian 1-300-22-1638.


Tag :

Artikel Berkaitan