• 17 Mei 2024 | 9 Zulkaedah 1445

Hukuman Sebat Pesalah Syariah di Tempat Awam Dalam Pertimbangan

KUALA TERENGGANU, 30 April- Cadangan pelaksanaan hukuman sebat bagi pesalah syariah di tempat awam sedang dalam pertimbangan, tegas Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi. 

Katanya, kerajaan negeri perlu meneliti beberapa prosedur tertentu sebelum pelaksanaannya.

"Benda itu dalam proses dan kita akan tengok daripada semasa ke semasa. Buat masa sekarang ini ia (hukuman sebat) akan dilaksanakan di tempat yang tertutup di dalam penjara.

"Kita akan pertimbangkan untuk di buat di tempat awam. Sebenarnya kalau kita tengok daripada semangat sedia ada atau roh hukuman ke atas orang yang melakukan jenayah dalam undang-undang jenayah syariah ini, ia mesti dilaksanakan di khalayak ramai.

"Cuma khalayak ramai itu adalah subjektif. Adakah khalayak ramai itu di tengah kawasan umum macam pasar, masjid atau apa-apa sahaja. Kalau dilaksanakan dalam penjara sendiri pun sebenarnya disaksikan oleh khalayak yang tertentu juga," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Pendahuluan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu Siri 1 Tahun 2024 di Bangunan Mahkamah Syariah Terengganu, semalam.

Turut hadir, Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Wan Mohd Zakri Wan Mohd.

Katanya, ketika ini ia tertakluk kepada enakmen sedia ada dan sebarang penambahbaikan akan dibuat dari semasa ke semasa. 

"Jadi di atas dasar itu kita laksanakan dulu apa yang tersedia ada, apapun untuk penambahbaikan kita akan lihat daripada semasa ke semasa.

"Kerajaan negeri dalam usaha untuk meningkatkan lagi dari sudut pemerkasaan pelaksanaan undang-undang jenayah syariah di Terengganu, " jelasnya.

Sementara itu, Wan Mohd Zakri berkata, berdasarkan peruntukan sedia ada, hakim yang menjatuhkan hukuman boleh menentukan tempat di mana pesalah tersebut patut disebat. 

"Dalam peruntukan undang-undang enakmen jenayah syariah Terengganu sudah ada, walau bagaimanapun ia tetap dilaksanakan oleh pihak penjara.  

"Buat masa ini, jika hakim tidak menyebut di mana pesalah disebat, secara automatik pesalah itu akan disebat di dalam penjara sehingga diperintahkan sebaliknya oleh hakim disebat dimana samada masjid ke, dalam mahkamah ke atau di tempat-tempat khalayak, " ujarnya.