• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Ibu, Bapa Tunggal Terima Saguhati Perkahwinan



Hanafiah mengagihkan sumbangan kepada peserta Majlis Penyampaian Cek Saguhati Perkahwinan. Foto Harish Fadzillah Abu Karim

Kerajaan negeri mengagihkan RM199,000 kepada  119 ibu dan bapa tunggal yang kembali menjalani kehidupan berumah tangga dalam Majlis Penyampaian Cek Saguhati Perkahwinan di Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Kuala Terengganu, semalam.

Pengarah YPKT, Mohd. Shafaruddin Mustaffa berkata, ganjaran  RM1,000 bagi setiap individu yang diperkenalkan dalam Bajet 2018 itu merupakan sebahagian daripada rangsangan ke arah mencorak institusi keluarga yang terbela dan lebih sejahtera.

"Daripada keseluruhan penerima, seramai 18 pasangan direkodkan berkahwin sesama ibu dan bapa tunggal, yang sekali gus membolehkan mereka menerima RM2,000," katanya kepada pemberita.

Ganjaran disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat.Yang hadir sama, Timbalan Pengarah YPKT, Ramlah Idris.

Hnafiah menyampaikan sumbangan RM1,000 kepada 

Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini memperuntukkan RM1 juta menerusi Bajet 2018 bagi menyediakan insentif RM1,000 kepada golongan ibu dan bapa tunggal yang berusaha melengkapkan kehidupan berkeluarga pada tahun ini.

Sementara itu, pasangan ibu dan bapa tunggal dari Kampung Mengabang Telipot di sini yang berkahwin pada 2 Januari lalu berhasrat untuk memanfaatkan ganjaran yang diterima bagi membeli barang kemas buat isterinya sebagai lambang perkahwinan mereka.

Yazid Borhan, 60, berkata, semasa majlis pernikahan lalu, dia cuma menghadiahkan sebentuk cincin dan beberapa hantaran jadi kali ini dia mahu menghadiahkan isterinya, Rusleza Mohd. Noor, 41, seutas gelang tangan.

"Kami berterima kasih kepada kerajaan negeri atas sumbangan ini, dan sejak awal kami berniat untuk membeli gelang tangan sempena berkahwin," katanya.

Bagi Hussin Ahmad, 65, dan Loyah Embun, 50, yang bertemu kembali selepas 25 tahun terputus hubungan akan menggunakan hadiah perkahwinan itu untuk mengembangkan perniagaan kuih sejuk beku yang diusahakan mereka sejak Februari lalu.


Tag: