• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

Ibu Tunggal Empat Anak Istimewa Miliki Rumah Baharu

Oleh: Amiirullah Mansor 

DUNGUN, 19 Julai- Seorang ibu tunggal dari Kampung Telaga Mas, disini terharu kerana mendapat rumah baharu menerusi Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk mereka lima beranak.

Nik Latifah Long, 53, yang memiliki empat anak Orang Kelainan Upaya (OKU) tidak mampu bekerja kerana perlu menjaga anak-anak istimewanya.

Bagaimanapun, dia menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Bantuan OKU Tidak Mampu Bekerja (BTB).

"Alhamdulillah, mak cik rasa macam bermimpi apabila menerima anugerah rumah ini. 

"Mak cik tidak bekerja, punca pendapatan mak cik adalah daripada sumbangan pihak berwajib kepada anak-anak OKU bagi menggalas tanggungjawab membesarkan mereka. 

"Mak cik rasa sangat bersyukur dan terima kasih kepada pihak Yang Berhormat (YB) dan pihak bertanggungjawab kerana memberi kediaman baru kepada kami," katanya kepada pemberita selepas menerima kunci rumah yang diserahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Satiful Bahri Mamat.

Sementara itu, Satiful berkata, bantuan tersebut adalah inisiatif daripada pihak Pejabat Khidmat Masyarakat ADUN Paka untuk membaik pulih rumah terbiar bagi memberi kediaman baru kepada lima beranak terbabit.

"Semoga dengan penyerahan kunci rumah ini dapat membantu mereka mendiami rumah yang lebih selesa disamping meringankan tanggungan menyara anak-anak" ujarnya. 
 


Tag: