• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

KUALA TERENGGANU, 15 Julai - "Rasa teruja nak datang sekolah selepas berbulan di rumah, nak jumpa cikgu dan kawan-kawan walaupun kami dijarakkan antara satu sama lain. Ini kali pertama saya ke sekolah bawa 'mask' (pelitup muka), 'hand sanitizer' dan diperiksa suhu," itu cerita Idham Fikri Mohd Rizal, murid Tahun 5 Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Budiman.

Idham, 11, yang teruja dengan norma baharu di sekolahnya mengakui, dia dan kawan-kawan tidak sabar untuk ke sekolah setelah hampir empat bulan sekolah diarahkan tutup dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Kami diingatkan oleh pihak sekolah supaya bawa air sendiri dan tukar mask pakai buang setiap hari. Selain itu, ada laluan khas yang ditetapkan dengan guru-guru sentiasa memerhatikan pergerakan kami," ujarnya ceria ketika ditemui pemberita dalam tinjauan di sini hari ini.

Hari pertama persekolahan bagi pelajar Tahun 5 dan 6 di sekolah tersebut mendapati rata-rata pelajar teruja setelah sekian lama duduk di rumah.

Bagaimanapun, semua pihak terutamanya pihak sekolah, guru-guru dan ibu bapa diingatkan supaya sentiasa berwaspada tentang keselamatan masing-masing terutamanya melibatkan pelajar-pelajar dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Untuk rekod, seramai 195 murid Tahun 5 dan 173 murid Tahun 6 SK Seri Budiman memulakan pembelajaran mereka bermula hari ini.

Terdahulu, Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan sesi persekolahan akan bermula pada 22 Julai bagi murid Tahun 1 hingga 4.

Tarikh pembukaan penuh sekolah itu membabitkan semua sekolah yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.

"Bagi sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM pula, mereka juga disaran untuk turut mengikut tarikh pembukaan penuh sekolah yang ditetapkan," katanya dalam sidang media khas.


Tag: