• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

Ikan Seluang Panggang Bangkit Selera Berbuka Puasa

HULU TERENGGANU, 1 April –Bagi yang masih mencari menu pembuka selera untuk berbuka, cubalah ikan seluang panggang salah satu daripada makanan tradisi masyarakat Hulu Telemong, boleh didapati di bazar Kuala Ping di sini, sepanjang Ramadan ini.

Ikan seluang panggang makan dengan nasi panas, memang ‘padu’ dan berjaya menghidupkan selera selepas hampir 14 jam berpuasa.

Jika nasi ditambah dengan ulam-ulaman dan pencicah budu, keenakannya sukar diucap dengan kata-kata. Begitulah penangan anak ikan seluang panggang yang begitu popular dalam kalangan penduduk terutama di sekitar kampung Kuala Ping.

Salah seorang peniaga bazar Ramadan, Siti Fauziah Abdul Kadir, 60, berkata, demi menu istimewa itu, dia meneruskan tradisi menjual ikan seluang panggang sejak lebih 30 tahun lalu  di bazar Ramadan.

Menurutnya, bekalan ikan kebiasaan diperolehi dari Sungai Telemong berdekatan.

“Setiap pagi anak lelaki mak cik akan pergi memukat dan membawa pulang hasilnya untuk disiang dan dibersihkan sebelum dipanggang.

“Mak cik jual satu cucuk ikan seluang panggang yang mempunyai 13 hingga 15 ekor mengikut saiz dengan harga RM5,“ katanya  ketika ditemui di Bazar Ramadan Kuala Ping di sini.

Nenek 13 cucu itu berkata, rasa yang manis membuatkannya bertambah enak apabila dicicah dengan budu bersama nasi panas dan ulam-ulaman.

“Tulang yang banyak itu mudah dihancurkan apabila dipenyet kerana ia sa­ngat halus dan tidak memudaratkan apabila makan,” katanya.

Tambahnya, sambutan terhadap ikan seluang panggang amat laris dan biasanya 40 cucuk yang disediakan akan kehabisan sebelum pukul 6 petang.