• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Ilmu Jamin Masa Depan, Bela Nasib Keluarga



Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 30 Disember- Demi menjamin masa depan yang baik, pelajar sekolah digesa supaya memulakan sesi persekolahan baru dengan penuh iltizam dan keazaman.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, pelajar yang akan menghadapi peperiksaan penting pada 2019 nanti perlu menggandakan usaha dan mencapai kejayaan dalam peperiksaan itu.

"Hanya dengan ilmu sahja yang mampu mengubah kehidupan dan dapat membela nasib keluarga. Dengan membudayakan ilmu maka, kesiapsagaan untuk menjadi pemimpin Islam di masa akan datang lebih terjamin.

"Jangan pernah terlibat dengan perkara yang sia-sia, terlibat dengan najis dadah, mat rempit, buli dan pelbagai perkara yang negatif perlu dielakkan,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau program gunting rambut yang dianjurkan Pejabat DUN itu, di sini, semalam.

Ghazali berkata, program gunting rambut yang disertai 100 pelajar sebagai insiatif meringankan bebanan yang ditanggung ibu bapa dan menceriakan pelajar yang bakal memulakan sesi baharu persekolahan 2019 nanti.

Tambahnya, program itu melibatkan empat Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) iaitu MPKK Shukor, Rantau Panjang, Dendang dan Lentang.


Pada masa yang sama, program lain bagi membantu ibu bapa dalam melakukan persiapan sekolah anak-anak turut dilaksanakan dengan mengagihkan pakaian sekolah.

"Pelajar yang ditemani ibu bapa masing-masing diberikan baucer berjumlah RM150 kepada 70 orang pelajar. Mereka memilih sendiri pakaian sekolah yang bersesuaian di Pasaraya Ten-Ten yang sedang mempromosikan jualan pakaian ke sekolah.

"Semua mereka yang hadir ceria menerima bantuan berkenaan dan saya harapkan agar ianya akan membuahkan semangat untuk belajar dengan baik," tegasnya.



Tag: