• 24 Jul 2024 | 17 Muharam 1446

Imam Ketiga di Terengganu Terima Insentif Khas RM194,400

KUALA TERENGGANU, 3 Julai - Seramai 324 orang imam ketiga di Terengganu menerima bantuan khas secara 'one-off' daripada kerajaan negeri dengan peruntukan keseluruhan RM194,400.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebelum ini imam ketiga di masjid mukim negeri itu tidak menerima bayaran oleh mana-mana entiti yang lain. 

"Jadi kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk membayar kepada imam ketiga, pembayaran hari ini adalah untuk tahun 2023.

"Agak terlewat sebenarnya kerana kita bergantung kepada kedudukan kewangan kerajaan negeri," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas menyempurnakan perasmian Majlis Penyerahan Bayaran Bantuan Khas ' One Off' tahun 2023 kepada imam ketiga Masjid Mukim Negeri Terengganu, di Perkarangan U2, Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut, Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri turut berhasrat bagi meneruskan bayaran bantuan khas kepada imam bagi tahun 2024.

"Insya-Allah sekiranya kedudukan kewangan mengizinkan kita akan cuba selesai secepat mungkin sebelum berakhir tahun ini," ujarnya.