• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Impian Keluarga Nelayan Milki Rumah Selesa Tercapai

MARANG, 29 Januari- "Kami sekeluarga yang sebelum ini tinggal di rumah uzur sangat bersyukur kerana impian untuk miliki rumah selesa sejak sekian lama akhirnya tercapai.

"Syukur ke hadrat Ilahi dan jutaan terima kasih kepada pihak berkaitan atas pemberian yang sangat berharga ini," kata Muhamad Adafis Zakirai, 30.

Penetap di Kampung Sungai Kerak, beliau antara 19 penerima bantuan rumah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di kawasan Marang.

"Sebelum ini, kami pernah memohon bantuan ini daripada beberapa pihak terlibat, tetapi tidak mendapat sebarang jawapan malah tiada tindakan sehingga diluluskan permohonan ini," katanya yang mencari rezeki sebagai nelayan.

Muhamad Adafis mewakili ayahnya Zakirai Kadir, 64, sebagai penerima bantuan mengucapkan jutaan terima kasih atas rumah yang siap dibina tambahan lagi keperluan rumah yang lebih selesa sangat penting kerana menjaga ibunya yang menghidap sakit lumpuh.

Pengarah LKIM Negeri Terengganu, Mastam Nado, berkata, sebanyak 19 buah rumah projek bina baru rumah telah diperuntukkan di kawasan Marang, termasuk dua di DUN Rhu Rendang.

"Kos yang diperuntukkan ini menelan belanja hampir RM247,000 dan pemohon pula terdiri daripada nelayan yang berdaftar dengan Persatuan Nelayan.

"Program ini diharap dapat membantu keluarga Zakirai dimana kita turut dibantu oleh pihak pejabat ADUN," katanya.

Beliau berkata ketika hadir ke majlis penyerahan rumah yang telah siap dalam Projek Bina Baru Rumah LKIM yang turut dihadiri oleh Pengerusi JPKK Sungai Kerak, Muhamad Azahar Adam.

Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat DUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, pihaknya telah membantu menampung kos menimbun serta meratakan tanah untuk penstrukturan tanah yang lebih kukuh bagi mengelakkan air bertakung.

"Memandangkan kawasan rumahnya sebelum ini sedikit rendah, kerja-kerja tanah tersebut akan dapat membantu mengelakkan air bertakung, malah kos merobohkan rumah sebelum ini juga turut kita keluarkan,

"Ini adalah usaha kita untuk merealisasikan impian mereka di samping berkerjasama dengan agensi-agensi yang terlibat untuk bantuan bina baru seperti ini," tambahnya.


Tag: