• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Impian Miliki Kediaman Sendiri Tercapai

KUALA NERUS, 22 Mei – Peluang memiliki rumah sendiri menjadi perkara paling menggembirakan bagi seorang bapa yang sekian lama menyewa.

Hussain Hafizi Din @ Yusof, 33, dari Kampung Tok Jembal, Seberang Takir di sini mengakui sebak dan terharu kerana hasrat untuk mempunyai kediamannya sendiri tercapai.

“Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada penyelaras DUN Seberang Takir, Mohd Fadzil Wahab atas usaha membantu mendapatkan saya sebuah rumah yang saya mohon sejak beberapa tahun lepas lagi.

“Sekian lama saya nantikan kerana sebelum ni hanya mampu menyewa rumah di Batu Rakit yang agak jauh dari tempat kerja,” ujarnya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita di Majlis Penyerahan Kunci Rumah PPTS DUN Seberang Takir yang disempurnakan Pegawai Penyelaras tersebut, semalam.

Tambah Hussain, keputusan itu amat mengembirakan isterinya yang juga surir umah dan sentiasa menyatakan hasrat untuk mempunyai rumah sendiri.

“Selepas ini bolehlah ada duit lebih sikit kerana duit bayaran sewa selama ini boleh membeli keperluan lain,” jelasnya.

Sementara itu, Mohd Fadzil memaklumkan, objektif utama penyediaan kediaman baharu adalah memberi tempat tinggal yang selesa kepada asnaf fakir atau miskin sebagai salah satu penyelesaian masalah miskin tegar di Seberang Takir.

“Kerajaan negeri sentiasa komited menyediakan rumah sendiri kepada rakyat Terengganu disamping menepati syarat-syarat yang ditetap,” ujarnya.

#HajiFadhilKirimSalam