lightning-solid
Berita :
113 Pelajar Terengganu Dipilih Sertai FUTERA Beyond Cohort 1.0
113 Pelajar Terengganu Dipilih Sertai FUTERA Beyond Cohort 1.0
Mastura Jamal Din
4 jam yang lepas
109

KEMAMAN, 24 Ogos – Seramai 113 pelajar sekolah menengah di Terengganu dipilih menyertai FUTERA Beyond Cohort 1.0 selepas berjaya menyerlahkan potensi kepimpinan masing-masing menerusi Kem Kepimpinan Beyond Leadership 2.0 Zon A.

Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 20 hingga 22 Ogos lalu di Darul Iman Training Centre (DITC), Kemaman itu menjadi platform bagi mencungkil dan menggilap bakat kepimpinan generasi muda negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Kepimpinan Al Fateh, Che Wan Mohd Faizul Che Wan Yusof berkata, ia merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Terengganu menerusi Akademi Kepimpinan Al Fateh dengan kerjasama Yayasan Negeri Terengganu dan Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT).

Katanya, program tersebut berjaya menghimpunkan seramai 113  pelajar daripada beberapa sekolah terpilih termasuk IMTIAZ Kemaman, SMA Al-Falah, IMTIAZ Dungun, SMASID, IMTIAZ Marang, SMA Marang, IMTIAZ Kuala Terengganu, SMASZAL, SMA(A)SZA dan SMA Khairiah.

"Program itu memberi fokus kepada usaha mengenal pasti pelajar yang mempunyai potensi kepimpinan untuk dibangunkan menerusi ekosistem FUTERA BEYOND.

“Tugas kita hari ini bukan menentukan siapa mereka akan jadi. Tugas kita adalah mencari potensinya, membuka ruangnya, membina kompetensinya dan memastikan potensi itu tidak terbiar begitu sahaja,” katanya.

Menurut beliau, peserta turut menjalani pelbagai aktiviti kompetensi yang menguji ketahanan mental, kebolehan bekerja dalam pasukan dan keupayaan memimpin.

“Pemimpin tidak lahir hanya melalui pencapaian akademik, sebaliknya perlu dibentuk melalui pengalaman, cabaran dan pendedahan yang membina keyakinan diri,” katanya.
Dalam program tersebut, Ahmad Aqilzayyad Zulkarnain dinobatkan sebagai Peserta Terbaik Banin, manakala Alia Nurzahra’ Ghazlan pula menerima pengiktirafan Peserta Terbaik Banat.

Sementara itu, Penyelaras Program, Ahmad Furqan Ismail berkata, segala ilmu, pengalaman dan nilai kepimpinan yang diterapkan sepanjang kem diharap dapat menjadi bekalan kepada peserta untuk melangkah lebih jauh pada masa depan.

Beliau berkata, kesinambungan pembangunan peserta penting bagi memastikan bakat yang telah dikenal pasti itu terus dibimbing dan mampu memberi manfaat kepada masyarakat serta negeri.


Tag :

Artikel Berkaitan