lightning-solid
Berita :
SUKMA 2026: Emas Terakhir Dari Silambam
SUKMA 2026: Emas Terakhir Dari Silambam
Ahmad Zaeem Zainudin
4 jam yang lepas
148

SERDANG, 24 Ogos - Pasukan Silambam menutup saingan SUKMA Selangor 2026 dengan emas dalam acara Silambam Berirama Dengan Senjata Campuran di Stadium MBSJ Serdang Jaya, hari ini.

Terengganu muncul juara selepas mencatatkan skor 11.867 mata, mengatasi Selangor yang meraih perak dengan 11.000 mata, manakala gangsa menjadi milik Johor dengan 10.667 mata.

Kejayaan itu melengkapkan kutipan pingat Silambam Terengganu kepada tiga emas, satu perak dan dua gangsa sepanjang saingan berlangsung.

Ketua Jurulatih Silambam, Indrajit A/L Moorali Tharan berkata, kejayaan itu amat bermakna selepas pasukannya sebelum ini hanya mampu meraih dua perak dan tiga gangsa pada SUKMA Sarawak 2024.

"Jadi saya amat gembira sebab SUKMA sebelum ini kita hanya dapat dua perak, tiga gangsa. Emas tak ada. 

"Jadi, kali ini kita sudah capai tiga emas," katanya ketika ditemui selepas kejohanan berlangsung, sebentar tadi.

Menurutnya, pencapaian itu hadir hasil pengorbanan besar atlet, terutama selepas kehilangan 'grandmaster' pasukan yang juga merupakan bapanya, kira-kira sebulan lalu.

Jelas beliau, pencapaian tiga emas itu turut melepasi sasaran awal pasukan yang menyasarkan dua emas, tiga perak dan tiga gangsa.

"Kita punya target dua emas, tiga perak, tiga gangsa. Tapi kita sekarang ni kita dapat tiga emas, satu perak, dua gangsa," ujarnya kepada pemberita.

Ulasnya lagi, pengalaman pada SUKMA Sarawak 2024 banyak membantu pasukan memperbaiki kelemahan, khususnya berkenaan pengalaman untuk atlet.

"Jadi dari SUKMA yang lepas, kita sudah belajar banyak benda dan kita sudah perbaiki banyak benda," katanya ketika mengulas mengenai prestasi anak didiknya dalam temasya kali ini.

Tambah Ketua Jurulatih itu, pasukan negeri berada di kedudukan kedua dalam kutipan emas Silambam dan menyasarkan untuk muncul juara pada edisi akan datang.

"SUKMA akan datang, kalau begitu sudah pasti saya akan target untuk jadi juara keseluruhan dalam acara Sukma sukan Silambam ini," nyatanya.

Terdahulu, Terengganu mengutip emas pertama menerusi Sakthyvarman A/L Moorali Tharan dalam acara Poruthal Individu Lelaki 55kg hingga 65kg dengan 21 mata.

Bhagavanth A/L Mahendran pula menambah satu lagi emas dalam acara Poruthal Individu Lelaki Melebihi 75kg dengan 21 mata selepas menewaskan Ragavan yang mewakili Perak (20 mata).

Satu-satunya pingat perak diperoleh menerusi Lugen A/L Saravan dalam acara Thanithiramai Stick Individu Lelaki selepas mencatatkan 8.767 mata, berkongsi kedudukan kedua bersama Eimaiyan A/L Kaliyappan dari Kedah.

Gangsa pertama diraih oleh Jaisnavi A/P Suresh Kumar dalam acara separuh akhir Poruthral Individu Wanita Bawah 50Kg.

Manakala gangsa kedua hadir menerusi acara Silambam Berirama Tanpa Senjata Campuran yang menyaksikan Selangor meraih emas dengan 12.167 mata, diikuti Perak (11.867 mata) dan Terengganu (11.533 mata).


Artikel Berkaitan