lightning-solid
Berita :
122 Tapak Sulaiman Mahkota Berduri Dihapuskan di Perairan Pulau Redang
122 Tapak Sulaiman Mahkota Berduri Dihapuskan di Perairan Pulau Redang
Noraini Jusoh
14 jam yang lepas
182

KUALA TERENGGANU, 15 Julai – Seramai 58 penyelam terdiri daripada kakitangan 14 agensi kerajaan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) berjaya mengutip kira-kira 122 tapak sulaiman mahkota berduri (COTs) daripada kawasan terumbu karang di sekitar Pusat Taman Laut Pulau Redang.

Ketua Unit Konservasi, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Bunyamin Halim berkata, program menghapuskan COTs dan sampah di dasar laut merupakan antara indeks prestasi utama (KPI) pihaknya setiap tahun.

"Kami telah melaksanakan beberapa siri program di Pulau Redang dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta persatuan penyelam. 

“Kerjasama ini memudahkan pelaksanaan operasi dan meningkatkan keberkesanan usaha yang dijalankan dimana tujuannya adalah untuk memastikan terumbu karang berada dalam keadaan baik serta biodiversitinya berada dalam keadaan terjaga,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman ketika ditemui pada Program Reef Care di Pusat Taman Laut Pulau Redang, semalam.

Mengulas lanjut katanya, COTs dikenal pasti sebagai ancaman utama  terumbu karang kerana spesies itu memakan tisu karang hidup dan mampu menyebabkan kemerosotan serius ekosistem terumbu apabila populasinya meningkat secara mendadak.

“COTs merupakan pemangsa kepada terumbu karang yang makan karang secara agresif. Kita kena kurangkan COTs ini dengan kaedah kutip, satu lagi kaedah suntik dengan asid atau cuka, tapi pada hari ini kita gunakan kaedah kutip dan tanam di kawasan daratan,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau memaklumkan, pasukan penyelam turut menjalankan operasi menyelam bagi mengutip sisa sampah sarap di dasar laut.

"Melalui program Reef Care pada kali ini, sebanyak 262 kilogram sampah dikutip membabitkan botol, plastik, tali, pukat dan pelbagai bahan buangan lain.

"Program ini membuktikan komitmen pelbagai agensi kerajaan dan NGO dalam menjaga alam sekitar sekali gus memberi impak kepada kitaran hidup, sumber makanan, pencemaran dan khazanah alam sekitar,” ujarnya.


Tag :

Artikel Berkaitan