Jalur Gemilang
Berita :
Dari Sebuah Kampung Kecil di Terengganu, Lahir Sebuah Legasi Ilmu
Dari Sebuah Kampung Kecil di Terengganu, Lahir Sebuah Legasi Ilmu
Husaif Mamat
1 jam yang lepas
65

Tanggal 1 Mei 1975, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kehilangan ayahnya, Tuan Guru Haji Awang Muhammad bin Abdul Rahman, seorang ulama yang mencurahkan ilmu kepada masyarakat di Kampung Rusila, Marang, Terengganu.

Pada 1 Januari 1976, beliau pulang dari Mesir. Sebagai seorang anak muda berkelulusan luar negara, terbuka pelbagai peluang untuknya membina kerjaya, termasuk tawaran daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ketika itu, UKM baru berusia hampir enam tahun selepas ditubuhkan pada 18 Mei 1970.

Namun, orang-orang tua di Rusila mempunyai harapan yang berbeza. Mereka meminta beliau supaya tidak meninggalkan kampung itu, sebaliknya meneruskan pengajian agama yang ditinggalkan oleh ayahnya.

“Pada masa itu adalah tawaran UKM, tawaran mana-mana, tapi tak boleh tinggal. Orang tua-tua ini pegang, jangan tinggal.

“Saya terpaksalah sambung balik,” katanya ketika mengimbau kenangan tersebut pada sambutan 50 tahun pengajian di Masjid Rusila pada Jumaat.

Keputusan untuk kekal di Rusila itu akhirnya membuka lembaran baharu dalam perkembangan tradisi keilmuan di Terengganu.

Warisan ilmu daripada beberapa generasi ulama

Menariknya, sejarah pengajian agama di Rusila tidak bermula dengan Tuan Guru Abdul Hadi pada tahun 1976, sebaliknya mempunyai akar yang jauh lebih panjang.

Datuknya, Tuan Guru Haji Abdul Rahman bin Haji Abdullah, merupakan seorang ulama yang mengajar agama kepada masyarakat setempat. Tradisi pengajian itu kemudiannya diteruskan oleh ayahnya, Tuan Guru Haji Awang Muhammad.

Ayahnya mendapat pendidikan awal daripada bapanya sendiri sebelum berguru dengan Tuan Guru Haji Mat Shafie di Pondok Losong, Kuala Terengganu.

Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian di Pondok Bunut Payong, Kelantan, di bawah bimbingan Tuan Guru Haji Abdullah Tahir, seorang daripada murid Tok Kenali, ulama terkemuka di Alam Melayu.

Tuan Guru Abdul Hadi pula mendapat pendidikan awal agama dan bahasa Arab daripada ayahnya sendiri sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang syariah di Universiti Islam Madinah dan seterusnya di peringkat sarjana dalam bidang Siasah Syar'iyyah di Universiti Al-Azhar, Mesir.

Rangkaian perguruan ini memperlihatkan hubungan tradisi keilmuan antara Terengganu, Kelantan dan Timur Tengah yang diwariskan daripada satu generasi kepada generasi berikutnya.

Dalam ucapannya, Tuan Guru Abdul Hadi turut menceritakan bagaimana penghijrahan masyarakat dari Patani selepas kejatuhan kerajaan Islam di wilayah tersebut menyumbang kepada perkembangan pengajian agama di Terengganu.

Antara tokoh yang disebutnya ialah Tok Syeikh Duyong dan Tok Syeikh Bukit Bayas.

Rusila juga pernah menjadi tempat persinggahan pedagang dan ulama yang berlayar ke serata Nusantara, termasuk Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong, tokoh terkenal dalam sejarah penentangan terhadap penjajahan British di Terengganu.

Ini memperlihatkan Rusila tidak hanya perkampungan nelayan, tetapi sebahagian daripada jaringan perkembangan ilmu dan sejarah perjuangan masyarakat Melayu.

Meneruskan tradisi, membawa pembaharuan

Beberapa minggu selepas kepulangannya dari Mesir, Tuan Guru Abdul Hadi mula mengajar dengan membawa pembaharuan.

Jika sebelum itu masyarakat lebih tertumpu kepada pengajian akidah dan fiqah, beliau memberikan penekanan kepada pengajian tafsir al-Quran dan hadis, berdasarkan pengalaman pengajiannya di Tanah Suci.

“Tafsir dengan hadis ini kena ada. Ini sumber pada hukum Islam,” katanya.

Pada peringkat awal, hanya sekitar 20 hingga 30 orang anak muda mengikuti pengajian tersebut.

Dalam sejarah pendidikan Islam di Alam Melayu, masjid, surau dan pondok memainkan peranan penting sebagai institusi pendidikan masyarakat sebelum berkembangnya sistem persekolahan moden.

Pengajian di Rusila juga kemudiannya melahirkan karya Tafsir al-Tibyan, hasil daripada pengajian tafsir al-Quran yang disampaikan oleh Abdul Hadi secara lisan kepada masyarakat.

Kena saman pun tetap datang mengaji

Bagaimanapun, perjalanan mengembangkan pengajian di Rusila bukanlah sesuatu yang mudah.

Tuan Guru Abdul Hadi menceritakan bagaimana mereka yang datang menuntut ilmu pada ketika itu berdepan pelbagai tekanan, termasuk dalam kalangan kakitangan kerajaan.

“Memanglah mula-mula mengajar itu berlakulah kepungan-kepungan. Kepungannya banyaklah,” katanya.

Menurut beliau, ada jemaah yang ditukarkan tempat bertugas, malah ada yang tidak dinaikkan pangkat.

Sekatan jalan raya turut diadakan, namun masyarakat dari kawasan pedalaman tetap datang.

“Orang mari juga, kena saman pun mari juga. Lepas itu dia buat kuliah-kuliah keliling ini nak lawan. Akhirnya tutup kuliah itu,” katanya.

Di sebalik tekanan tersebut, jumlah jemaah terus bertambah. Daripada puluhan orang, meningkat sehingga mencecah ribuan orang.

Masjid yang asalnya dibina menggunakan kayu daripada perahu lama akhirnya terpaksa dibesarkan bagi menampung kehadiran jemaah.

Perkembangan ini memperlihatkan bahawa kekuatan sesebuah institusi pendidikan bukan hanya bergantung kepada kemudahan fizikal, tetapi turut dipengaruhi oleh kewibawaan guru, kepercayaan masyarakat dan kesungguhan mereka untuk mendapatkan ilmu.

Namun, bagi Tuan Guru Abdul Hadi, semua itu merupakan kurniaan Allah SWT.

“Kita tak boleh nak menjinakkan hati manusia walaupun kita belanja banyak mana. Tuhan kata Allah menjinakkan hati mereka,” katanya.

Terengganu dan warisan keilmuan

Terengganu sebenarnya mempunyai sejarah panjang dalam perkembangan pendidikan Islam.

Kewujudan tokoh-tokoh seperti Tok Syeikh Duyong, Tok Syeikh Bukit Bayas dan Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong memperlihatkan kedudukan ulama dalam membentuk kehidupan masyarakat Terengganu suatu ketika dahulu.

Penghijrahan ulama dari Patani, hubungan keilmuan dengan institusi pondok di Kelantan serta jaringan pengajian di Mekah dan Madinah turut memperkayakan tradisi pendidikan Islam di negeri ini.

Rusila merupakan sebahagian daripada kesinambungan sejarah tersebut.

Jika dahulu ulama menyampaikan ilmu melalui pengajian di rumah, surau dan pondok, hari ini tradisi itu terus dipertahankan menerusi pengajian masjid yang menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai peringkat usia.

Setengah abad, masih menganggap diri sekadar penyambung

Sepanjang tempoh lima dekad itu, banyak perkara berubah dalam kehidupan Tuan Guru Abdul Hadi.

Beliau pernah menjadi Menteri Besar Terengganu, memikul tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen dan memimpin sebuah parti politik di peringkat nasional.

Namun, Rusila tetap menjadi sebahagian daripada kehidupannya.

Apa yang menarik, setelah 50 tahun mencurahkan ilmu, beliau masih meletakkan dirinya sebagai penyambung kepada usaha datuk, ayah dan ulama terdahulu.

“Saya hanyalah penyambung yang kecil daripada mereka-mereka yang memulakannya,” katanya.

Barangkali orang-orang tua yang meminta beliau kekal di Rusila pada tahun 1976 tidak pernah membayangkan sejauh mana pengajian itu akan berkembang.

Mereka hanya mahu seorang anak muda menyambung tugas ayahnya.

Hari ini, amanah itu sudah berusia setengah abad.

Bagi Terengganu, kemajuan sesebuah negeri bukan sahaja boleh dilihat pada pembangunan bandar, pertumbuhan ekonomi atau kemudahan infrastrukturnya. Warisan ilmu dan pembentukan masyarakat juga merupakan khazanah yang tidak kurang nilainya.

Bangunan boleh didirikan dalam beberapa tahun, tetapi membina tradisi keilmuan yang bertahan merentasi generasi memerlukan masa, kesabaran dan pengorbanan.

Rusila mempunyai kisah itu.

Sebuah kampung kecil di pesisir pantai Terengganu yang menyimpan sejarah beberapa generasi ulama, melahirkan karya keilmuan dan terus menjadi tempat masyarakat menuntut ilmu.

Sebuah warisan berharga yang wajar dihargai dan dipelihara oleh generasi anak Terengganu pada masa hadapan.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan