KUALA LUMPUR, 26 November – Perikatan Nasional (PN) mempersoalkan proses nyahklasifikasi minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang berkaitan dengan Datuk Seri Najib Razak, khususnya dari aspek prosedur, bidang kuasa serta pemakluman kepada Yang di-Pertuan Agong.
Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata beberapa persoalan berhubung perkara itu perlu diberikan penjelasan oleh kerajaan, termasuk bagaimana maklumat mengenai status nyahklasifikasi dokumen berkenaan boleh diketahui oleh pihak luar kerajaan.
Beliau berkata persoalan tersebut dibangkitkan dalam sidang media Pembangkang bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, serta Ahli-ahli Parlimen PN di Dewan Rakyat, hari ini.
Antara perkara yang dibangkitkan ialah bagaimana bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua, boleh mengetahui status nyahklasifikasi minit mesyuarat berkenaan sedangkan beliau bukan lagi Ahli Parlimen, anggota Kabinet atau pegawai kerajaan.
Sehubungan itu, Takiyuddin meminta supaya siasatan polis berkaitan Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) dipercepatkan bagi menentukan bagaimana maklumat tersebut diperoleh serta sama ada berlaku sebarang pelanggaran kerahsiaan.
PN turut mempersoalkan sama ada proses nyahklasifikasi berkenaan telah dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, selaku Pengerusi Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.
Menurut Takiyuddin, penjelasan juga perlu diberikan berhubung pihak yang mengarahkan atau membuat keputusan untuk menyahklasifikasikan dokumen tersebut serta asas kuasa dan prosedur yang digunakan.
Dalam perkembangan sama, PN turut mempersoalkan status permohonan Badan Peguam Malaysia (Bar Council) yang sebelum ini memohon dokumen berkaitan.

Takiyuddin turut meminta penjelasan berhubung dakwaan bahawa proses nyahklasifikasi dilakukan bagi membolehkan dokumen tersebut digunakan dalam afidavit balasan Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Badan Peguam Malaysia.
Beliau berkata semakan terhadap sistem e-Filing mahkamah pada 24 November 2026, menurut dakwaan yang dibangkitkan, tidak menunjukkan kewujudan afidavit balasan AGC berkenaan.
PN menegaskan bahawa isu tersebut bukan semata-mata berkaitan kandungan dokumen, sebaliknya turut melibatkan persoalan ketelusan, prosedur, bidang kuasa serta pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan yang berkaitan.
Sehubungan itu, kerajaan diminta memberikan penjelasan secara terbuka mengenai pihak yang mengarahkan proses nyahklasifikasi, tarikh proses tersebut dilaksanakan, pihak yang menerima dokumen berkenaan serta sama ada Yang di-Pertuan Agong telah dimaklumkan.
PN berkata pihaknya akan terus memberi perhatian terhadap isu yang melibatkan kepentingan awam, institusi Raja dan prinsip kedaulatan undang-undang.