KUALA TERENGGANU, 19 November – Selepas menyertai secara langsung aktiviti pengeluaran minyak dan gas melibatkan lima aset petroleum, Terengganu kini menyasarkan dua hingga tiga lagi peluang pelaburan dalam sektor huluan industri berkenaan.
Peluasan pelaburan itu akan diterajui TI Petroleum Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc), dalam usaha meningkatkan penglibatan negeri dalam industri minyak dan gas.
Ia merupakan kesinambungan kejayaan penyertaan Terengganu menerusi Perjanjian Perkongsian Pengeluaran PM6/12 bersama PETRONAS Carigali Sdn. Bhd. dan EnQuest Petroleum yang melibatkan lima aset petroleum utama, iaitu Resak, Duyong, Beranang, Gansar dan Lebah.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perindustrian, Perdagangan dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, TI Petroleum akan terus meneroka peluang pelaburan berdaya maju dalam aktiviti penerokaan dan pengeluaran minyak dan gas.
Katanya, usaha itu turut melibatkan kerjasama strategik dengan pemain industri berpengalaman di peringkat global bagi memperluas penglibatan Terengganu dalam sektor huluan secara berperingkat dan mampan.
“Melalui penyertaan ini, kita berharap dapat mewujudkan sumber pertumbuhan ekonomi baharu, membangunkan keupayaan tempatan serta membuka ruang kepada perkongsian pengetahuan dan pemindahan teknologi.
“Pada masa sama, peluasan penglibatan dalam sektor huluan dijangka membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada syarikat tempatan selain meningkatkan sumbangan pendapatan petroleum kepada negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini, hari ini
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri menyasarkan hasil sebanyak RM560 juta pada 2027 berbanding RM500 juta yang disasarkan tahun ini.
Mohd Nurkhuzaini berkata, pelaksanaan tujuh inisiatif New Income Terengganu (NIT) berjaya menjana hasil sebanyak RM135.05 juta pada 2025, meningkat 74.3 peratus berbanding RM77.48 juta pada 2024.
Daripada jumlah itu, kajian semula cukai dan fi menyumbang RM77 juta, diikuti sumber air (RM46.69 juta), sumber galian dan mineral (RM9.3 juta) serta serahan GLC (RM1.99 juta).
Bagi memperluas sumber pendapatan negeri, kerajaan turut memberi tumpuan kepada empat teras baharu NIT, meliputi pengukuhan pendapatan pihak berkuasa tempatan (PBT), pemerkasaan sektor perhutanan, penerokaan ekonomi digital dan pengoptimuman sumber tenaga negeri.
Kerajaan negeri turut mempergiat usaha menarik pelaburan domestik dan asing berkualiti menerusi penyelarasan antara Invest Terengganu, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Usaha itu disokong dengan penyediaan pakej industri lebih kompetitif, memanfaatkan kelebihan sumber bahan mentah, tenaga kerja mahir, kemudahan utiliti dan kawasan perindustrian strategik.
Turut dimanfaatkan ialah jaringan logistik menerusi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Pelabuhan Kemaman.
Pada masa sama, kerajaan negeri memperkemas tadbir urus GLC menerusi penambahbaikan polisi, prosedur operasi standard serta pemantapan peranan lembaga pengarah dan pengurusan eksekutif bagi meningkatkan kecekapan dan akauntabiliti.
Langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada strategi Terengganu untuk mempelbagaikan sumber pendapatan, mengurangkan kebergantungan kepada hasil tradisional serta memastikan kekayaan sumber negeri membawa manfaat ekonomi lebih besar kepada rakyat.