KUALA TERENGGANU, 19 November - Bandar Jerteh akan mengalami perkembangan baharu dalam sektor perniagaan dan pembangunan bandar menerusi pembukaan pusat beli-belah moden pertama di daerah berkenaan yang bakal dibuka pada 26 November ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr Riduan Mohd Nor berkata, kehadiran pusat beli belah yang dilengkapi kemudahan 'ekslator' dan 'travelator' itu dijangka memberikan pilihan baharu kepada masyarakat setempat dalam masa yang sama akan merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan tersebut.
"Pembukaan pusat beli-belah ini merupakan perkembangan positif kepada bandar Jerteh yang berpotensi meningkatkan nilai kawasan berkenaan sebagai pusat tumpuan perniagaan dan aktiviti masyarat Daerah Besut.
"Akan dirasmikan pembukaannya pada 26 November ini, pembukaan kemudahan ini sudah tentu akan meningkatkan daya tarikan Jerteh sebagai pusat perniagaan dan perkhidmatan," ujarnya.
Dalam perkembangan yang sama, Dr Riduan menyatakan bahawa cadangan menyemak kadar sewaan premis milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di sekitar Jerteh akan dibincangkan bersama Yang Dipertua Majlis Daerah Besut bagi memastikan kadar yang dikenakan bersesuaian dengan keadaan semasa serta kemampuan peniaga.
"Pada masa yang sama, kita juga melihat bagaimana infrastuktur di dalam bandar dapat ditambah baik supaya bersesuaian dengan kadar sewa yang dikenakan,"ucapnya.