Jalur Gemilang
Berita :
Kerajaan Negeri Buka Ruang Penggambaran Filem, Jana Ekonomi Tempatan
Kerajaan Negeri Buka Ruang Penggambaran Filem, Jana Ekonomi Tempatan
Noraini Jusoh
2 jam yang lepas
26

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu terus membuka ruang kerjasama strategik dengan industri perfileman tempatan dan antarabangsa bagi mempromosikan keindahan destinasi pelancongan negeri selain merancakkan ekonomi setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Dato’ Razali Idris berkata, inisiatif itu turut membuahkan hasil apabila sebanyak 15 penerbitan disenaraikan melibatkan penggambaran di Terengganu dengan kerjasama Kerajaan Negeri bagi tempoh 2018 hingga 2026.

“Antara yang mencatat potensi limpahan ekonomi ialah program realiti Extracted terbitan FOX Entertainment di Tasik Kenyir yang diunjurkan menjana manfaat ekonomi sebanyak RM3 juta sepanjang tempoh empat bulan.

“Penggambaran program berkenaan turut melibatkan kira-kira 350 kru produksi, sekali gus membuka peluang kepada penglibatan pemain industri dan penyedia perkhidmatan tempatan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di sini, hari ini.

Malah katanya, usaha itu mendapat sokongan anak syarikat kerajaan negeri, TI Properties Sdn. Bhd. menerusi penyediaan kemudahan penggambaran termasuk Marina Dome dan Pulau Poh.

“Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan penerbitan filem serta program realiti tempatan mahupun antarabangsa untuk menjadikan Terengganu sebagai lokasi pilihan penggambaran.

“Bagaimanapun, setiap permohonan kerjasama akan diteliti bagi memastikan pematuhan terhadap Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu selain mengambil kira sensitiviti masyarakat, adat serta budaya setempat,” ujarnya.

Katanya, langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memanfaatkan industri kreatif sebagai platform promosi pelancongan di samping memastikan identiti dan nilai budaya masyarakat Terengganu terus dipelihara.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan