Jalur Gemilang
Berita :
166 Acara Meriahkan Visit Truly Terengganu 2027, Sasar 15 juta Pelawat
166 Acara Meriahkan Visit Truly Terengganu 2027, Sasar 15 juta Pelawat
Mastura Jamal Din
4 jam yang lepas
25

KUALA TERENGGANU, 24 November – Sebanyak 166 acara pelancongan dan kebudayaan bakal dianjurkan sepanjang tahun depan menerusi Kempen Visit Truly Terengganu 2027 dalam usaha menarik sasaran 15 juta pelawat ke negeri ini.

Penganjuran acara yang merangkumi 17 Signature Event dan 149 Side Event itu meningkat sebanyak 53 acara atau kira-kira 47 peratus berbanding 113 acara yang dirancang pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Dato’ Razali Idris berkata, penyusunan kalendar acara berkenaan merupakan strategi penting bagi memastikan Terengganu mempunyai tarikan pelancongan yang konsisten sepanjang tahun.

Menurutnya, penganjuran acara bukan sekadar bertujuan menarik kedatangan pelawat, sebaliknya menjadi platform memperkenalkan kepelbagaian produk, keunikan budaya serta keistimewaan destinasi pelancongan negeri ini.

"Kita mahu setiap bulan ada beberapa acara yang mampu menarik pengunjung datang ke Terengganu.

"Apabila mereka datang untuk menyertai atau menyaksikan sesuatu acara, mereka akan mengenali pula produk pelancongan yang ada di negeri ini dan seterusnya berpotensi datang semula bersama keluarga," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kalendar Acara Pelancongan dan Kebudayaan (COE) Kempen Visit Truly Terengganu 2027 di Hotel Permai, di sini hari ini.

Razali berkata, strategi penganjuran acara itu turut memberi penekanan kepada pasaran domestik dan antarabangsa bagi memperluas capaian promosi pelancongan Terengganu.

Katanya, kerajaan negeri mahu produk pelancongan termasuk keindahan alam semula jadi, pantai, pulau dan warisan budaya tempatan diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

"COE ini perlu mempunyai kekuatan untuk menarik kedua-dua pasaran, domestik dan antarabangsa. Kita mahu produk pelancongan Terengganu dikenali lebih luas," katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap pelaksanaan COE 2027 dapat diperkukuh melalui kerjasama kerajaan, sektor swasta, komuniti dan semua pemain industri pelancongan.

Katanya, kejayaan kempen berkenaan bukan hanya diukur berdasarkan jumlah kedatangan pelawat, tetapi turut mengambil kira impak langsung kepada rakyat menerusi peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan dan pembangunan usahawan muda.

Beliau turut mengingatkan semua pihak dalam industri pelancongan supaya memberikan layanan terbaik serta menyantuni setiap pengunjung yang datang ke negeri ini.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan