Berita :
17 Lokasi Tumpuan di Kuala Terengganu Kini Dipantau CCTV Pintar
17 Lokasi Tumpuan di Kuala Terengganu Kini Dipantau CCTV Pintar
Mastura Jamal Din
11 jam yang lepas
275

KUALA TERENGGANU, 3 Jun - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) terus memperkukuh aspek keselamatan dan pengurusan trafik bandar menerusi pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) pintar serta lampu isyarat pintar di beberapa lokasi strategik sekitar bandar raya ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, setakat ini sebanyak 17 lokasi telah dilengkapi sistem CCTV yang ditempatkan di kawasan tumpuan orang ramai bagi memudahkan pemantauan secara berterusan.

Beliau berkata antara lokasi yang terlibat ialah kawasan pelancongan Teluk Ketapang, Pantai Batu Buruk dan Pasar Payang yang sering menjadi tumpuan pengunjung serta mempunyai pergerakan orang ramai yang tinggi.

"Melalui sistem ini, segala aktiviti dan keadaan di lokasi terlibat dapat dipantau secara langsung menerusi pusat kawalan yang beroperasi di pejabat MBKT.

"Pemilihan lokasi pemasangan CCTV dibuat berdasarkan keperluan pemantauan di kawasan yang mempunyai kepadatan pengunjung dan berpotensi berlaku insiden tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bilik Kawalan CCTV dan melancarkan sistem E-Kutip di Menara MBKT, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Sukairi berkata sistem CCTV melibatkan enam persimpangan utama dari kawasan Pasar Payang sehingga ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.

Menurutnya, laluan sepanjang kira-kira enam kilometer itu merupakan antara kawasan yang sering mengalami kesesakan trafik terutama pada hujung minggu, musim cuti sekolah dan musim perayaan.

"Sistem ini juga membolehkan pusat kawalan mengurus dan melaras tempoh lampu isyarat secara masa nyata mengikut keadaan trafik semasa bagi melancarkan pergerakan kenderaan.

"Selain itu, sistem berkenaan juga berupaya mengenal pasti dan merekod nombor pendaftaran kenderaan serta jenis kenderaan yang melalui laluan terbabit," katanya.

Beliau berkata pelaksanaan  inisiatif itu dijangka dapat meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan MBKT kepada masyarakat selain membantu pihak berkuasa memantau keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.

"Insya-Allah, penggunaan teknologi pintar ini akan memperkukuh pengurusan bandar raya, sekali gus memastikan tahap keselamatan serta kesejahteraan rakyat dan pelancong yang berkunjung ke Terengganu terus terpelihara," katanya.

 


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan