Jalur Gemilang
Berita :
243 Peserta Sertai Konvoi Kota Putera, Kutip 78 Kilogram Sampah Dalam 20 Minit
243 Peserta Sertai Konvoi Kota Putera, Kutip 78 Kilogram Sampah Dalam 20 Minit
Rohayati Ripin
02 Sep 26
18

BESUT, 2 September — Seramai 243 peserta menyertai Konvoi Kota Putera yang bukan sahaja menghimpunkan peminat motosikal, malah menggabungkan aktiviti keagamaan, ziarah kebajikan dan gotong-royong dalam usaha mengeratkan silaturahim masyarakat setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, program berlangsung hampir sehari itu mendapat sambutan menggalakkan khususnya daripada golongan anak muda yang pertama kali menyertai aktiviti berkenaan.

Menurutnya, konvoi tersebut melalui kira-kira 95 peratus kawasan kampung dalam Kota Putera dengan lima lokasi persinggahan yang disusun bagi membolehkan peserta menyertai pelbagai aktiviti.

“Selain pengalaman berkonvoi, kita turut mengadakan kuiz, berselawat sempena Maulidur Rasul, ziarah ke rumah golongan B40 serta aktiviti gotong-royong.

“Program ini juga memberi peluang kepada kita untuk saling mengenali dan mengeratkan silaturahim, terutama apabila ramai anak muda baharu yang pertama kali menyertai konvoi ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian  ketika dihubungi hari ini mengulas penganjuran Konvoi Kota Putera yang turut mendapat kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Pasukan Amal serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, antara pengisian yang mendapat perhatian ialah aktiviti gotong-royong di Pantai Benteng Lentang dengan kerjasama Geng Plastik Hijau (GPI).

“Dalam tempoh hanya 20 minit, kita berjaya mengutip sebanyak 78 kilogram sampah, menunjukkan masih banyak sampah yang perlu diberi perhatian walaupun aktiviti pembersihan dilakukan dalam masa yang singkat.

“GPI turut menyediakan peralatan seperti plastik sampah, sarung tangan dan penyepit bagi memudahkan peserta menjalankan kerja pembersihan,” ujarnya.

Tambahnya, konvoi bermula dengan solat Zohor di Masjid Nasaruddin Shah sebelum peserta meneruskan perjalanan ke beberapa lokasi termasuk Dataran Limongan, Kampung Amir, Masjid Payarawa dan Kampung Pengkalan Kubor.

Katanya, peserta turut berpeluang mengikuti aktiviti kuiz, bergambar di Paragliding Park serta menikmati jamuan sebelum program berakhir di Kampung Fikri Wetland.

“Keseluruhannya, program ini amat berjaya kerana setiap aktiviti di checkpoint mendapat penyertaan daripada semua kumpulan yang dibahagikan kepada 18 kumpulan.
“Perjalanan turut diiringi pasukan trafik PDRM dan Unit Amal bagi memastikan pergerakan konvoi berjalan lancar,” katanya.

Tambahnya lagi, peserta turut diberikan peluang memenangi cabutan bertuah berupa peralatan motosikal termasuk kira-kira 10 buah topi keledar yang disumbangkan penaja selain minyak hitam dan pelbagai kelengkapan motosikal.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan