Jalur Gemilang
Berita :
305 Warga Asing Dikenakan Tindakan, 291 Kenderaan Disita
305 Warga Asing Dikenakan Tindakan, 291 Kenderaan Disita
Rohayati Ripin
2 jam yang lepas
53

KUALA TERENGGANU, 11 Oktober – Seramai 305 warga asing dikenakan tindakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Terengganu menerusi 22 operasi Penguatkuasaan Warga Asing (Ops PEWA) yang dilaksanakan dari Januari hingga 11 Oktober tahun ini.

Pengarah JPJ Negeri Terengganu, Mohd Zamri Samion berkata, operasi berkenaan dilaksanakan bagi memastikan pemandu warga asing mematuhi undang-undang jalan raya, termasuk keperluan memiliki lesen memandu yang sah, Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan perlindungan insurans.

“Sepanjang tempoh operasi, kita mengeluarkan 1,466 saman P22 dan mengambil tindakan terhadap 299 kenderaan, manakala 291 kenderaan disita,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Terengganu, di sini, hari ini.

Menurutnya, warga Myanmar dan Rohingya mencatatkan jumlah tertinggi dikenakan tindakan iaitu 202 orang, diikuti Bangladesh (36), Indonesia (24), China (16), Pakistan (14), Thailand (tiga), Nepal (seorang) dan negara lain (sembilan).

Menurut statistik operasi, sebanyak 1,533 kesalahan direkodkan dengan kesalahan memandu tanpa Lesen Memandu Kompeten (CDL) menjadi kesalahan tertinggi iaitu 572 kes.

Ia diikuti kesalahan teknikal sebanyak 323 kes, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (274), tiada perlindungan insurans (256) dan lain-lain kesalahan (108).

Mohd Zamri berkata, isu penyewaan dan penjualan kenderaan kepada warga asing perlu diberi perhatian kerana tindakan penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi sekiranya masih terdapat pemilik tempatan yang membolehkan mereka mendapatkan kenderaan.

“Dalam konteks ini, kita seolah-olah berdepan satu kitaran yang tidak berkesudahan. Walaupun kenderaan disita, warga asing masih boleh mendapatkan kenderaan lain.

“Keadaan ini menunjukkan ada pihak dalam kalangan penduduk tempatan yang sanggup menyewakan kenderaan kepada warga asing,” katanya.

Tambahnya, sebanyak 291 kenderaan disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, terdiri daripada 247 motosikal, 36 motokar dan lapan kenderaan lain.

Selain itu, JPJ turut mengeluarkan 131 notis PG.1 di bawah Seksyen 59 sepanjang pelaksanaan operasi berkenaan.

Menurutnya, tindakan berterusan itu penting bagi membendung pelanggaran undang-undang jalan raya yang boleh mengancam keselamatan pengguna lain, khususnya apabila kenderaan digunakan tanpa lesen memandu yang sah, LKM atau perlindungan insurans.

“Kita perlu saling mengingatkan supaya tidak mengambil keuntungan mudah dengan menyewakan atau menjual kenderaan kepada pihak yang tidak memenuhi syarat undang-undang kerana pemilik asal juga boleh berdepan tanggungjawab terhadap kenderaan berkenaan,” katanya.

Ujarnya lagi, JPJ akan menyita kenderaan warga asing yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, lesen memandu dan cukai jalan, selain membawa kes berkenaan ke mahkamah. 

Kenderaan yang disita tidak akan dilepaskan sehingga kes selesai.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan pelanggaran di bawah Ops PEWA boleh menyalurkannya melalui e-mel aduantrafik@jpj.gov.my atau aplikasi MyJPJ menerusi saluran e-Aduan@JPJ.

Justeru itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya menyerahkan sebarang tindakan penguatkuasaan kepada pihak berkuasa.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan