Jalur Gemilang
Berita :
313 Telur Penyu Belimbing Dijangka Gagal Menetas, Tiada Perkembangan Embrio
313 Telur Penyu Belimbing Dijangka Gagal Menetas, Tiada Perkembangan Embrio
Adli Mohamad
1 jam yang lepas
100

DUNGUN, 12 November – Harapan untuk menyaksikan kelahiran generasi baharu penyu belimbing di Terengganu tahun ini semakin tipis apabila kesemua 313 telur yang direkodkan menerusi lima pendaratan sepanjang September dan Oktober lalu dijangka gagal menetas.

Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Pang Nyukang berkata, pemeriksaan teknikal terakhir terhadap 48 telur daripada sarang kelima mendapati telur berkenaan berkemungkinan tidak disenyawakan, sekali gus menunjukkan keadaan sama seperti empat sarang terdahulu.

Menurutnya, lima pendaratan penyu belimbing itu direkodkan di Pantai Pasir Putih pada 1 September, Pantai Rantau Abang (13 September), Pantai Kuala Abang (22 September), Pantai Jambu Bongkok (1 Oktober) dan sekali lagi di Pantai Rantau Abang pada 10 Oktober lalu.

"Berdasarkan pemeriksaan terhadap kelima-lima sarang, kita boleh membuat kesimpulan bahawa kesemua telur berkenaan berkemungkinan tidak akan menetas.

"Seperti reptilia lain, penyu boleh menghasilkan telur, tetapi sekiranya telur itu tidak disenyawakan, ia tidak akan menghasilkan anak.

"Kita beranggapan keadaan ini mungkin disebabkan ketiadaan penyu belimbing jantan di perairan Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media mengenai status perkembangan telur penyu belimbing di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Rantau Abang (TCIC), di sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Pang berkata, pihaknya percaya kelima-lima pendaratan itu berkemungkinan melibatkan seekor penyu betina yang sama berdasarkan pola pendaratan dalam tempoh antara 10 hingga 30 hari.

Katanya, dalam satu musim pembiakan, penyu belimbing lazimnya boleh bertelur antara lima hingga lapan kali sebelum kembali ke kawasan mencari makanan.

"Selepas tamat musim bertelur, penyu berkenaan biasanya mengambil masa antara dua hingga tiga tahun sebelum kembali semula ke kawasan pendaratan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, sekiranya penyu betina berkenaan masih hidup, terdapat kemungkinan ia akan kembali ke perairan Terengganu pada 2029 atau 2030 untuk musim pembiakan seterusnya.

Menurutnya, perkembangan itu amat membimbangkan memandangkan penyu belimbing merupakan antara spesies penyu yang sangat terancam di peringkat global, manakala Terengganu sebelum ini tidak merekodkan sebarang pendaratan spesies berkenaan selama sembilan tahun.

Dalam pada itu, Pang tidak menolak kemungkinan penyu betina yang kembali mendarat tahun ini merupakan antara 115 anak penyu belimbing yang berjaya ditetaskan menerusi usaha konservasi pada tahun 2000.

"Pada tahun 2000, kita berjaya menetaskan sebanyak 115 ekor anak penyu belimbing.

"Sekarang sudah 2026, jadi penyu yang menetas ketika itu secara teorinya sudah mencapai usia dewasa dan kita tidak menolak kemungkinan penyu yang mendarat tahun ini adalah antara hasil tetasan berkenaan," katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan jumlah sebenar populasi penyu belimbing di perairan Terengganu masih sukar dikenal pasti kerana penyu jantan tidak naik ke pantai untuk bertelur, berbeza dengan penyu betina yang dapat dikesan melalui aktiviti pendaratan.

Justeru, beliau menegaskan usaha penyelidikan, pemantauan dan konservasi perlu diteruskan bagi memastikan kelangsungan spesies yang semakin terancam itu.

Katanya, penyu belimbing bukan sahaja khazanah biodiversiti negara, malah mempunyai nilai warisan semula jadi yang besar kepada Terengganu dan perlu dipelihara untuk generasi akan datang.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan