lightning-solid
Berita :
40 Warga Pulau Perhentian Terima Pembiayaan Modal PJD Bernilai RM606,000
40 Warga Pulau Perhentian Terima Pembiayaan Modal PJD Bernilai RM606,000
Rohayati Ripin
5 jam yang lepas
82

BESUT, 21 Julai – Seramai 40 penduduk Pulau Perhentian menerima pembiayaan modal berjumlah RM606,000 menerusi Program Jaya Diri (PJD) yang dilaksanakan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) bagi memperkasakan ekonomi komuniti pulau itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, inisiatif tersebut memberi fokus kepada warga Pulau Perhentian untuk membantu mereka memulakan atau mengembangkan perniagaan sebagai sumber pendapatan yang lebih mampan.

Menurut beliau, sebahagian besar penerima menggunakan pembiayaan berkenaan sebagai modal perniagaan yang dijalankan di Pulau Perhentian, selaras dengan keperluan ekonomi setempat yang banyak bergantung kepada sektor pelancongan.

"Melalui inisiatif Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Majlis Penyampaian Pembiayaan Modal Program Jaya Diri (PJD) Pulau Perhentian diadakan khusus bagi memperkasakan ekonomi penduduk setempat serta membuka lebih banyak peluang menjana pendapatan.

"Semoga pembiayaan yang disalurkan ini menjadi pemangkin untuk menjana pendapatan yang lebih mampan demi masa depan keluarga dan komuniti Pulau Perhentian," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman, hari ini.,

Tambah Maliaman, program itu dilihat sebagai antara usaha Kerajaan Negeri dalam memperkukuh daya tahan ekonomi masyarakat pulau melalui penyediaan modal kepada usahawan kecil.

"Sekali gus menggalakkan pertumbuhan perniagaan tempatan dan meningkatkan taraf hidup penduduk,"katanya lagi.


Tag :

Artikel Berkaitan