Jalur Gemilang
Berita :
460 Lokasi Berisiko Banjir Dikenal Pasti Di Terengganu
460 Lokasi Berisiko Banjir Dikenal Pasti Di Terengganu
Rohayati Ripin
1 jam yang lepas
64

KUALA TERENGGANU, 14 Oktober – Sebanyak 460 lokasi berisiko banjir dikenal pasti di Terengganu sebagai antara kawasan yang diberi perhatian dalam persiapan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) kali ini.

Pengerusi Khidmat Malaysia Terengganu (KMT), Dato’ Hanafiah Mat berkata, kesiapsiagaan menghadapi musim tengkujuh memerlukan perancangan awal, penyelarasan operasi dan penggemblengan anggota serta aset bagi memastikan bantuan dapat digerakkan mengikut keperluan.

Menurutnya, Khidmat Malaysia Terengganu mempunyai lapan bilik operasi di peringkat Parlimen dan 32 pusat operasi di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) yang meliputi seluruh negeri.

“Lokasi-lokasi ini menjadi antara kawasan yang diberi perhatian dalam pemantauan dan kesiapsiagaan agensi pengurusan bencana.  

“Jadi, pendekatan kita ialah setiap pihak memainkan peranan masing-masing, agensi teknikal menjalankan pemantauan dan tindakan teknikal, manakala Khidmat Malaysia membantu dari segi rangkaian masyarakat, maklumat lapangan, mobilisasi sukarelawan dan bantuan apabila diperlukan.

“Apabila terdapat kemungkinan berlaku banjir, Bilik Gerakan Khidmat Malaysia Terengganu akan diaktifkan, diikuti pengaktifan bilik operasi Parlimen dan pusat operasi di DUN yang terjejas mengikut keperluan,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Beliau menambah, kawasan DUN yang tidak terjejas juga boleh berfungsi sebagai kawasan sokongan dengan menggerakkan anggota dan bantuan logistik ke lokasi memerlukan.

“Jika sesuatu DUN tidak terjejas, anggota di kawasan tersebut tidak semestinya berada tanpa tugasan. 

“Mereka boleh berfungsi sebagai pasukan sokongan, termasuk membantu kawasan lain yang terjejas dan melaksanakan kerja-kerja pembersihan serta pemulihan selepas banjir.

“Jadi, kita tidak melihat jumlah pusat operasi semata-mata sebagai ukuran kesiapsiagaan. Yang lebih penting ialah keupayaan untuk mengaktifkan pusatpusat tersebut dengan pantas dan memindahkan tenaga serta aset ke kawasan yang memerlukan,” ujarnya.

Ujarnya, antara aset yang disediakan termasuk bot, jaket keselamatan, peralatan kecemasan, peralatan pembersihan dan kenderaan pacuan empat roda bagi membantu pergerakan anggota serta penghantaran bantuan.

“Dari segi anggota, kita mempunyai rangkaian sukarelawan di peringkat kawasan yang boleh digerakkan apabila diperlukan. Kita juga membuat penyelarasan dengan agensi utama seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Bomba, khususnya berkaitan perkembangan cuaca, kawasan berisiko, keperluan pemindahan dan keadaan semasa di lapangan. 

“Dari segi logistik pula, antara aset yang disediakan ialah bot, jaket keselamatan, peralatan kecemasan, peralatan pembersihan dan kenderaan 4x4. Kenderaan 4x4 melalui rangkaian Terengganu Adventure Team (TAG) juga boleh membantu pergerakan pasukan di kawasan yang sukar dilalui. 

“Pada masa yang sama, kesiapsiagaan Khidmat Malaysia bergerak seiring dengan kesiapsiagaan agensi kerajaan. APM Terengganu, misalnya, telah menyediakan hampir 900 anggota, 68 aset darat dan 58 aset air untuk menghadapi MTL, manakala kawasan-kawasan berisiko turut dipantau secara berterusan,” ujarnya. 

Hanafiah berkata, Khidmat Malaysia turut menyelaras gerak kerja dengan agensi berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi mengikuti perkembangan cuaca, kawasan berisiko serta keperluan pemindahan mangsa.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Khidmat Malaysia bukan pasukan penyelamat barisan hadapan, sebaliknya berperanan sebagai pasukan sokongan yang membantu dari segi mobilisasi sukarelawan, logistik dan bantuan kepada mangsa.

“Namun, saya ingin jelaskan bahawa Khidmat Malaysia bukan pasukan penyelamat barisan hadapan. Kerja-kerja menyelamat secara teknikal dan operasi air biasanya dikendalikan oleh Bomba dan APM yang mempunyai kepakaran serta aset khusus. 

“Khidmat Malaysia bertindak sebagai pasukan sokongan, termasuk membantu dalam keadaan kecemasan dan keperluan mendesak.

“Dari segi makanan dan barangan keperluan, bantuan akan disesuaikan dengan keadaan sebenar di lapangan. Mangsa yang ditempatkan di PPS mempunyai saluran bantuan melalui sistem pengurusan bencana kerajaan, tetapi jika berlaku kekurangan bekalan, keperluan kecemasan atau keadaan luar jangka, Khidmat Malaysia Bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan sukarelawan boleh membantu menyalurkan makanan serta barangan keperluan,” katanya.

Pengalaman sebelum ini juga menunjukkan peranan Khidmat Malaysia bukan berhenti ketika banjir sahaja, tetapi turut melibatkan bantuan selepas banjir, termasuk kerja-kerja pembersihan rumah dan kawasan yang terjejas.

Menurutnya, kesiapsiagaan juga perlu mengambil kira kemungkinan banjir besar berlaku serentak di beberapa kawasan yang boleh meningkatkan keperluan terhadap anggota, aset dan bekalan bantuan.

Justeru, kerjasama antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan penting bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan segera, khususnya kepada penduduk yang terjejas.

“Secara keseluruhannya, Khidmat Malaysia Terengganu berada dalam keadaan siap siaga menghadapi Monsun Timur Laut. Kita mempunyai 8 Bilik Operasi Parlimen dan 32 Pusat Operasi DUN, disokong oleh rangkaian anggota, sukarelawan, aset dan logistik di seluruh negeri. 

“Kita juga tidak bergerak bersendirian. Kekuatan sebenar pengurusan banjir ialah penyelarasan antara Khidmat Malaysia dengan PDRM, APM, Bomba, Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), agensi kerajaan, NGO dan sukarelawan. 

Justeru itu, katanya sekiranya berlaku banjir besar, keutamaan kerajaan negeri ialah keselamatan rakyat, bantuan segera kepada mangsa dan memastikan kawasan yang terjejas mendapat sokongan secepat mungkin. 

“Kita sudah bersedia dari sekarang dan akan terus menyesuaikan kekuatan operasi berdasarkan keadaan cuaca serta situasi sebenar di lapangan,” tambah beliau.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan