Berita :
7,000 'Serbu' Rumah Terbuka DUN Ajil
7,000 'Serbu' Rumah Terbuka DUN Ajil
Azhar Yusof
1 hari yang lepas
187

HULU TERENGGANU, 28 Mac – Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Ajil di Dataran Ajil Trade Centre (ATC), di sini, mencatat kehadiran luar jangkaan apabila dianggarkan seramai 7,000 pengunjung hadir memeriahkan majlis berkenaan, malam tadi.

Walaupun program dijadualkan bermula jam 9 malam, kawasan sekitar sudah mula dipenuhi orang ramai seawal jam 8 malam, sekali gus menggambarkan keterujaan masyarakat untuk bersama-sama meraikan Aidilfitri dalam suasana penuh muhibah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata, sambutan yang diterima kali ini benar-benar di luar jangkaan pihak penganjur.

“Alhamdulillah, kehadiran sangat menggalakkan dan kita tidak menjangka jumlah pengunjung akan seramai ini, malah ramai yang hadir lebih awal daripada waktu ditetapkan.

“Dalam masa sama, kita mohon maaf sekiranya terdapat kekurangan berikutan kehadiran luar jangkaan yang begitu ramai,” katanya ketika ditemui pada majlis tersebut.

Menurut beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, penganjuran rumah terbuka itu menjadi platform penting dalam mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.

Katanya, suasana yang terhasil jelas memperlihatkan semangat kebersamaan yang tinggi tanpa mengira latar belakang, selaras dengan usaha memperkukuh perpaduan di peringkat akar umbi.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran beberapa pemimpin dan kenamaan termasuk ADUN Wakaf Mempelam, ADUN Alor Limbat, ADUN Kuala Berang, ADUN Telemong, ADUN Ladang,  Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu serta pegawai-pegawai kerajaan.

Sepanjang program berlangsung, pengunjung disajikan dengan pelbagai juadah tradisional seperti lemang, ketupat, rendang, sate dan nasi minyak yang disediakan secara gotong-royong oleh komuniti setempat.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk agensi kerajaan, pasukan keselamatan, sukarelawan serta kepimpinan akar umbi seperti Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Muslimat, Pemuda dan Ameerah yang bertungkus-lumus menjayakan program berkenaan.

“Insya-Allah, kita akan terus menambah baik penganjuran pada masa akan datang agar lebih teratur dan mampu menampung kehadiran yang lebih besar,” ujarnya.

Beliau berharap sambutan seperti ini akan terus menjadi acara tahunan yang mampu mengeratkan silaturahim serta menyemarakkan lagi semangat Aidilfitri dalam kalangan masyarakat setempat.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan