Jalur Gemilang
Berita :
AI, Cabaran Penyebaran Maklumat
AI, Cabaran Penyebaran Maklumat
Ahmad Zaeem Zainudin
30 Oct 26
24

KUALA TERENGGANU, 30 Oktober - Penggubahan gambar, suara ditiru dan video janaan kecerdasan buatan (AI) menjadi cabaran baharu dalam memastikan kesahihan maklumat yang disampaikan kepada orang awam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, perkembangan teknologi berkenaan membolehkan sesuatu kandungan kelihatan meyakinkan walaupun peristiwa yang dipaparkan tidak pernah berlaku.

"Di sebalik kemudahan teknologi, kita juga berhadapan cabaran yang semakin rumit hari ini. Gambar boleh diubah, suara boleh ditiru dan video boleh direka menggunakan kecerdasan buatan atau AI. 

"Sesuatu kandungan boleh kelihatan meyakinkan walaupun peristiwanya tidak pernah berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar pada Majlis Anugerah Apresiasi Media Terengganu 2026, semalam.

Menurutnya, walaupun teknologi mempunyai banyak manfaat dalam kerja penerbitan dan penyebaran maklumat, aspek ketepatan perlu diutamakan.

"Teknologi mempunyai banyak manfaat dalam kerja penerbitan dan penyebaran maklumat, namun kelajuan tidak sepatutnya mengatasi ketepatan," tegasnya.

Sehubungan itu, tegasnya lagi, kesahihan maklumat perlu dipastikan sebelum menerbitkan sesuatu berita bagi mengelakkan kekeliruan.

"Setiap bahan yang diterima perlu disemak sumbernya, difahami konteksnya dan dinilai kesannya sebelum disiarkan.

"Dalam ajaran Islam kita dipandu dengan prinsip tabayyun iaitu menyelidik dan memastikan kesahihan sesuatu berita.

"Prinsip ini semakin penting apabila kandungan yang salah mudah tersebar luas sebelum sempat diperbetulkan," ujar beliau.


Tag :

Semasa
Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan